Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: Penjaga rumah amal didakwa rotan budak 6 tahun
Diterbitkan:  Oct 4, 2024 11:20 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak lelaki di Bandar Country Homes, Rawang.

Mohd Syahid Hanapiah, 35, didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, menganiaya mangsa dengan cara merotan kanak-kanak terbabit dan memungkinkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah amal pada waktu pagi Feb hingga Sept 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu timbalan pendakwa raya Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan jaminan terhadap Mohd Syahid.

Bagaimanapun Nurilya Ellyna berkata sekiranya mahkamah mengguna pakai budi bicara, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 bersama syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang keras berjumpa dan mengganggu mangsa.

Katanya tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis serta memastikan dia boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa.

Mohd Syahid yang tidak diwakili peguam kemudian merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia mempunyai masalah kewangan.

“Saya mohon supaya jaminan dikurangkan kerana ada masalah kerja dan keluarga,” katanya.

Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 Nov ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.

Sebelum ini media melaporkan pihak polis telah melancarkan Op Global awal bulan lalu dan telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan itu seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut ditahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS