Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Keadaan di Timur Tengah sugul, tiada jalan penyelesaian diplomatik setakat ini - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengibaratkan keadaan di Timur Tengah ketika ini sebagai “sugul” berikutan ketiadaan jalan penyelesaian secara diplomatik bagi mengakhiri konflik yang berlaku di beberapa bahagian dalam wilayah itu.

Beliau turut melontarkan persoalan negara di Timur Tengah yang bakal diceroboh Israel selepas rejim itu menyerang ibu negara Lubnan iaitu Beirut dan sebelum ini, kawasan di selatan Lubnan serta Semenanjung Gaza.

“Setakat ini, tiada (jalan penyelesaian secara diplomatik terhadap konflik di Timur Tengah). Setakat ini (keadaan di Timur Tengah boleh) diibaratkan sebagai sugul kerana kita mendesak (agar) dihentikan serangan terhadap Semenanjung Gaza, (tetapi) diteruskan serangan terhadap Gaza malah diperluas kepada Lubnan.

“Mula (serangan) di selatan Lubnan, kini sudah ke Beirut. Selepas ini, apa lagi?” kata Perdana Menteri ketika ditanya sama ada terdapat jalan penyelesaian secara diplomatik terhadap krisis di wilayah itu yang semakin merebak kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dilihat gagal mencari jalan untuk menghentikan serangan Israel.

Anwar berkata Malaysia, sebagaimana yang telah disuarakan secara tegas oleh beliau dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, mendesak agar serangan ganas Israel terhadap Semenanjung Gaza, Tebing Barat, selatan Lubnan dan Beirut dihentikan dengan segera.

Beliau berkata usaha menamatkan konflik di Timur Tengah yang telah mengorbankan ribuan nyawa penduduk awam yang tidak berdosa itu juga memerlukan komitmen daripada negara-negara Arab, Islam dan PBB.

Anwar berkata semua pihak terbabit sudah menjalankan tanggungjawab masing-masing dan hasilnya mungkin kurang memuaskan namun mereka telah melaksanakan langkah yang tegas.

Perdana Menteri juga berkata Israel tetap berdegil untuk meneruskan kekejaman di wilayah itu dan ini mungkin kerana mereka yakin masih boleh bergantung kepada dukungan Amerika Syarikat serta sekutunya.

Keadaan di Timur Tengah semakin meruncing apabila Iran melancarkan serangan 180 butir peluru berpandu ke arah Israel dua hari lepas, yang memungkinkan keseluruhan wilayah itu terjerumus ke kancah peperangan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS