Ahli Parlimen DAP, RSN Rayer, bertanya kepada seorang pemimpin komponen PN mengenai apakah yang dilakukan oleh pengerusi PN, Muhyiddin Yassin untuk membantu golongan miskin semasa dia menjadi perdana menteri.
Ahli Parlimen Jelutong itu mengajukan soalan tersebut kepada timbalan presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam yang semalam berkata adalah "berdosa" untuk menjadi kaya di bawah kerajaan Madani, berikutan dakwaan "serangan" Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap golongan elit dan yang raya raya.
Dalam satu kenyataan, Rayer berkata kenyataan Anwar baru-baru ini bahawa kerajaan tidak akan memberi subsidi pendidikan terhadap pelajar daripada keluarga kaya sebenarnya akan memberi manfaat kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin dengan meletakkan mereka pada platform yang sama dengan rakan sebaya mereka.
“Sudah berapa kali kita mendengar anak-anak daripada keluarga miskin dihalang peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihan mereka kerana latar belakang sosio-ekonomi mereka?
"Mengapa MIPP tidak boleh menghargai dan memuji usaha perdana menteri untuk merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin?" soal Rayer dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook.
Semalam, Subramaniam mendakwa Anwar menekan golongan elit dan kaya dengan pelbagai dakwaan yang membawa naratif kononnya golongan itu tidak mempedulikan pembangunan kerajaan, sejak hari pertama menjadi perdana menteri.
"Mesej Anwar sangat jelas, dosa kalau kamu jadi kaya di bawah pemerintahan beliau," kata Subramaniam kepada Malaysiakini.
Selain kenyataan Anwar mengenai subsidi pendidikan, Subramaniam juga merujuk kepada komen perdana menteri mengenai golongan kaya yang tidak layak mendapat subsidi diesel.
Rayer seterusnya mempersoalkan apakah yang dilakukan oleh Muhyiddin ketika wabak Covid-19 melanda negara dalam tempoh singkat dia menjadi perdana menteri.
Dakwa Rayer, apa yang dilakukan oleh presiden Bersatu seekadar mengumumkan satu demi satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) - yang menambahkan lagi kesengsaraan kepada rakyat Malaysia yang sudah terkesan teruk.
“Rakyat Malaysia masih ingat hari-hari gelap PKP apabila kita semua mengalami pelbagai kesengsaraan selepas tindakan khianat Sheraton Muhyiddin.
"Kita masih ingat apabila rakyat Malaysia mengibarkan bendera putih di luar rumah mereka jika mereka mahukan bantuan daripada jiran mereka, berbanding meminta bantuan daripada kerajaan pintu belakang Muhyiddin," tulis Rayer.
Rayer berkata, bukanlah satu kesalahan untuk dilahirkan sebagai golongan kaya tetapi adalah satu dosa sekiranya tidak membantu golongan miskin mendapat pendidikan.
"PN tidak akan faham perkara ini kerana ia adalah gabungan ‘pendosa’ yang khianat,” katanya.