Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Kelantan tak lagi terpinggir akibat perbezaan politik

Kedatangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke negeri Kelantan, Tanah Serendah Sekebun Bunga cukup bermakna buat rakyat di sini.

Sebagaimana penegasan sebelum ini, negeri ini khususnya dan ‘Malay belt’ lain amnya sentiasa mendapat perhatian beliau dan tidak dicicirkan dari peruntukan dan langkah kemajuan seiring dengan positifnya perkembangan ekonomi negara di kala ini.

Kehadiran sosok yang dinanti-nantikan ke Pasar Besar Siti Khadijah untuk beramah mesra menjenguk satu daripada destinasi tarikan pelancong di sini cukup dinantikan khususnya oleh warga Kota Bharu. 

Dengan ditemani oleh penyokong nombor satunya, tidak lain isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail beliau hadir selepas program sebelumnya di Istana Kelantan. Jenakanya tentang tarikan pelancong kerana cantik, ya wanita Kelantan, pastinya mencuit hati Wan Azizah.

Dalam mengumumkan peruntukannya, beliau cukup berhati hati dan teliti agar ia betul digunakan untuk kerja kerja yang sepatutnya. Penekanan kepada aspek kebersihan termasuk tandas, keselamatan seperti pendawaian, keselesaan kepada penjual dan pembeli dalam membaik pulih kebocoran membuktikan keprihatinan ‘seorang bapa’. 

Walaupun dicerca dan ditohmah, bahkan diminta untuk meletakkan jawatan oleh sesetengah pihak, yang anehnya datang juga tanpa silu mengambil peluang, tetap dilayan oleh Anwar tanpa ralat dan muka kelat. Mungkin ada sedikit singgungan yang diberi namun tidak berlebihan kerana fokusnya untuk membela rakyat tidak pernah lari.

Tapak Pasar Besar inilah tempat kelahiran saya. Dulunya dipanggil Kampung Dalam Kubu/ Parit Dalam. Ramai sanak saudara  dekat dan kenalan berniaga di sini. Pastinya tidak pernah lupa bila arwah mak (nenek ) yang dulunya berniaga di kaki lima menjual barangan sepertimana pengasas Mydin sebelum ini diminta berpindah ke pasar ini selepas pembukaannya. 

Bila Mydin dibuka dengan konsep harga borong dijual secara runcit, jualan oleh penjual penjual kecil begitu terkesan. Apatah lagi bila diminta untuk berniaga di bahagian agak tengah tingkat satu, banyak hari hari dilalui tanpa jualan langsung hingga akhirnya tidak dapat bertahan.

Masih teringat bila satu hari tolong menjaga tapak kedai untuk Mok pergi solat, dengan tiada jualan dari pagi, singgah seorang abang untuk membeli bateri. Mungkin bila dilihat yang membantu di tapak itu seorang kanak kanak lalu timbul rasa kasihan. Sikap empati sebegini perlu diterapkan. Bila mana anak anak mengajak ke kedai makan jenis rangkaian, saya selalu ingatkan supaya tidak lupa kepada kedai kedai tempatan yang sangat bergantung kewujudannya kepada anak anak tempatan.

Begitulah  juga suasana hari ini, dengan begitu ramainya penjual penjual di Bazar sekitarnya termasuklah Bazar Tok Guru yang letaknya tidak jauh juga dari situ, pencarian peniaga peniaga ini tentunya banyak mengharapkan sentuhan ‘seorang ayah’ dari masa ke semasa dan Anwar datang tepat pada masanya.

Peruntukan baru

Semasa mengumumkan peruntukan baharu sebanyak RM5.5 juta sebagai tambahan kepada RM1.5 yang disalurkan sebelum ini, Anwar bertanya penuh cakna kepada hadirin jumlah yang patut disalurkan. Bila ada menyebut RM3 dan RM4 juta beliau kemudiannya bersetuju untuk jumlah keseluruhannya menjadi RM7 juta. Beliau menolak dengan senyum bila ada yang menyebut RM10juta kerana jumlahnya berlebihan, ia wang rakyat.

Teringat saya kepada almarhum Fadzil Noor rakan karib Anwar sebelum ini. Saya pernah ditugaskan membawa beliau membeli-belah selepas berjumpa penuntut penuntut di United Kingdom (UK) sekitar hujung 1990an dan awal 2000 dahulu. Beliau suka bertanya apa yang patut dibeli, berapa kuantiti yang perlu dibeli dan lain lain. Seorang yang dekat di hati rakyat dan sentiasa cuba merasai denyut nadi dan kesusahan mereka.

Kedatangan Anwar sempena sambutan keputeraan ke-54 Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tentunya ada signifikannya tersendiri. Dengan adanya sultan yang dekat di hati rakyat dan perdana menteri yang cakna, ia kombinasi yang cukup baik untuk membangun sebuah negeri yang begitu lama dipinggirkan sebelum ini. 

Anwar (kanan) dan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud

Bencana rakyat dihukum kerana perbezaan anutan politik suatu ketika dahulu harus ‘dimuziumkan’ untuk ia tidak lagi merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat. 

Menjuzukkan kemajuan ekonomi kepada empat negeri sebagaimana wujudnya SG4 mungkin penerusan kepada sikap pecah belah yang tidak berkesudahan diamalkan. Rakyat Kelantan khususnya perlu diingatkan dengan kezaliman yang mereka pernah lalui. Ekonomi negara yang sedang menaik tatkala ini pastinya lahir dari kepercayaan pelabur pelabur luar kepada gaya dan kepimpinan yang ada pada hari ini dalam tempoh tidak sampai dua tahun memimpin.

Semoga tempias dari sentimen kuat pelabur untuk masuk nanti dapat sampai ke Kelantan lalu memesatkan lagi pembangunan di sini. Pun begitu, ia perlu seiring dengan pembangunan jiwa dan tradisi ilmu yang mantap untuk menjadi ketandaan kepada negeri Serambi Mekah ini. 

Kemuncaknya dirasai semasa keberadaan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziiz Nik Mat yang semasa hayatnya cukup menyokong kepimpinan susuk tubuh bernama Anwar Ibrahim ini. 

Cadangan untuk menubuhkan Universiti Islam Kelantan oleh ulama pendukung kerajaan Madani contohnya sudah ada dalam perkiraan pemimpin kerajaan pusat dan pastinya dengan sikap yang betul dan iltizam politik yang kuat ia dapat direalisasikan.

Untuk sekian kalinya dengan penuh syukur diucapkan terima kasih dan setinggi tinggi penghargaan atas komitmen Anwar menoktahkan kezaliman yang pernah dibuat sebelum ini dan saya juga menarik balik istilah Kelantan selalu dianaktirikan yang pernah saya ungkapkan kepada beliau sebelum ini. 

Terima kasih perdana menteri rakyat!


ROSLI ALLANI ABDUL KADIR ialah mantan calon Pakatan Harapan (PH) di Machang dalam pilihan raya umum ke-15.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS