Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: Sultan Selangor perkenan keputusan Fatwa Negeri

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan keputusan dicapai menerusi mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengenai GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Exco Agama dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata perkara itu mendapat perkenan baginda selepas sembah maklum oleh Pengerusi Jawatankuasa Fatwa negeri Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir di Istana Bukit Kayangan Shah Alam, pagi tadi.

“(Keputusan Jawatankuasa Fatwa) disembah maklum kepada Sultan Selangor dan baginda telah memberikan perkenan. Insya-Allah esok kita akan maklumkan sedikit sebanyak berhubung keputusan itu menerusi khutbah Jumaat di masjid dan surau Jumaat seluruh Selangor.

“Tapi fatwa (berkenaan GISBH) itu harus melalui pewartaan terlebih dahulu sebelum kita jadikan hukum dan menjalankan penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi.

Isnin lepas, Jabatan Mufti Negeri Selangor bersidang bagi memutuskan persoalan berkaitan GISBH di negeri itu, selain laporan berkaitan GISBH dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 24 Sept lepas.

Pada 20 Sept, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya.

Sehubungan itu, baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarahkan tutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS