Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Melihat beberapa pandangan orang politik akhir-akhir ini memang agak merengsakan. Manakan tidak, semuanya umpama melepaskan geram masing-masing.

Keputusan PRU ke-15 lalu membuka satu peluang baru kepada rakyat Malaysia meneroka kematangan ahli-ahli politik untuk memikirkan kepentingan dan keutamaan negara melebihi kepentingan parti dan diri sendiri.

Justeru pembentukan kerajaan perpaduan adalah proses inovasi dan evolusi reformasi dalam negara ini.

Kejayaan kerajaan perpaduan bukan hanya tertumpu kepada kejayaan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri sebaliknya perubahan yang mesti dilakukan dengan komited demi menjamin sebuah negara berdaulat, dihormati dan dan mendapat kepercayaan rakyat.

Kalau kita menelusuri sejarah negara, evolusi itu memberi peluang untuk rakyat membuat penilaian, penambahbaikan dan sedikit sebanyak perubahan supaya negara diurus sebaik mungkin oleh pemimpin bertanggungjawab.

Ia perlu diwujudkan setelah sekian lama rakyat terpisah dek sentimen politik kepartian yang menebal apabila rakyat dihidangkan dengan corak kepimpinan mengikut gabungan parti yang menang.

Tarikh 24 Nov 2022 wajar dikenang sebagai tarikh keramat. Bumi bertuah ini menoktahkan kemelut panjang dengan membentuk kerajaan dengan lafaz sumpah jawatan yang keluar dari mulut Anwar selaku perdana menteri ke-10.

Semua parti berkongsi tema

Bukan mudah untuk menyatukan kuasa besar politik yang sentiasa bertembung dalam apa jua keadaan.

Selepas itu rakyat dihalwakan dengan gagasan perpaduan sebagai resipi pemerintahan negara ini. Walaupun agak janggal, gagasan perpaduan itu mula mendapat tempat di hati rakyat apabila berjaya membawa negara ke landasan yang betul.

Buktinya, ekonomi negara semakin baik, nilai mata wang semakin positif dan isu perbekalan barangan keperluan jauh lebih baik berbanding era terdahulu.

Formula perpaduan jugalah dibawa dalam beberapa siri pilihan raya, sama ada di peringkat negeri atau pilihan raya kecil. Buah yang terlahir daripada muafakat itu dipetik di Nenggiri, Kelantan; dan Mahkota, Johor.

Umno dan BN juga bersungguh-sungguh berkempen semasa PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang ditandingi PH.

Pada masa sama PH juga bertungkus-lumus membantu memenangkan calon BN kemudiannya di dua PRK lain. Ia berlangsung tanpa kekok.

Misi setiap parti ialah membawa pengundi tegar masing-masing untuk memenangkan calon kerajaan perpaduan. Ya, semua parti berkongsi tema semasa berkempen, iaitu "perpaduan."

Malangnya, selepas mencapai kemenangan besar di Mahkota, nada dan nafas sesetengah ahli politik mula berubah. Ada unsur perasan bagus dan ujub mula mekar.

Maka wajarkah kita mula melupakan saja tarikh keramat 24 Nov 2022 itu setelah kita melaungkan slogan demi slogan perpaduan untuk rakyat?

Perasaan besar diri dan menjadi kacang yang melupakan kulit ini sangat bahaya jika tidak ditangani dengan bijak. Ia boleh memusnahkan perpaduan yang telah dibibitkan bersama selepas PRU ke-15 lalu.

Ambil kira pandangan rakan

Perlu diingat, rakyat telah mula melihat bahawa formula perpaduan adalah strategi ampuh yang berjaya mengangkat semula martabat negara.

Justeru saya menjemput anda untuk melihat batu asas pembentukan kerajaan Pahang selepas tiada parti memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

Ketika itu, Pengerusi PH Pahang, Amirudin Saari, menegaskan bahawa parti itu - yang memenangi lapan kerusi DUN - akan membentuk kerajaan negeri bersama BN tanpa syarat.

Sedangkan ketika itu, PN meletakkan pelbagai syarat kepada BN sebagai balasan atas sokongan mereka untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Kerajaan negeri akhirnya berjaya ditubuhkan apabila Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 27 Nov 2022.

Kerajaan perpaduan di Pahang pada dasarnya diterajui BN tetapi mengambil kira pandangan-pandangan dalam beberapa perkara dan tidak menafikan peranan dimainkan PH.

Sekali lagi satu memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani pada 19 Nov 2023 di antara BN dan PH bagi memeterai ikatan kerjasama yang lebih erat.

Bukti keikhlasan, perpaduan

Kekukuhan kerjasama tersebut tidak hanya terhenti setakat itu apabila PH turut dilibatkan dalam kabinet negeri dengan penyertaan sebagai exco, Adun lantikan, serta ahli majlis dalam kerajaan tempatan.

PH dilibatkan sebagai anggota jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) di peringkat akar umbi - walaupun masih perlu dipertingkatkan.

Pada prinsipnya BN Pahang dan PH Pahang telah menonjolkan modul perpaduan sebenar dalam pemerintahan kerajaan negeri dan ia boleh dicontohi negeri lain termasuk Johor.

Tidak hairan, jentera BN dan PH Pahang terlebih dahulu membuktikan kejayaan kerjasama semasa di Pelangai dan Tioman dengan memenangkan calon kerajaan perpaduan dari BN.

Tidak pula kedengaran suara-suara ‘janggal’ yang saling memperkecilkan rakan-rakan di Pahang ini selepas PRK tersebut berakhir. Inilah namanya keikhlasan dalam berpadu.

Justeru, formula Pahang boleh dicontohi oleh seluruh komponen parti kerajaan perpaduan di seluruh negara.

Sikap berhemah dan bijaksana serta menghormati rakan oleh Wan Rosdy wajar dicontohi. Bak kata pepatah, adat berkawan - terapung sama hanyut, terendam sama basah.


MOHD FADZLI MOHD RAMLY ialah Adun Pahang yang juga pengerusi Amanah Pahang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS