Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Bersatu tawar diri jadi posmen Anwar, Bloomberg

Pemuda Bersatu hari ini menawarkan diri untuk menjadi ‘posmen’ bagi menghantar surat jemputan kepada media antarabangsa, Bloomberg untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini susulan laporan Bloomberg yang mendakwa pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Zahin Zainal merujuk laporan Bloomberg yang mendakwa SPRM menerima arahan Anwar untuk tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat.

“Seperti yang kita sedia maklum perdana menteri ini orangnya, cakapnya kuat, tegas, punya berani dan sanggup berada di atas pentas utama untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel ke atas penduduk di Gaza.

“Tetapi (dakwaan Bloomberg) ini berkaitan dengan diri dia (Anwar), sepatutnya kena lebih tegas berbanding daripada satu kenyataan semata-mata.

“Mungkin perlu dipanggil Bloomberg, panggil datang ke pejabat perdana menteri. Kalau tak boleh panggil (Bloomberg) kita boleh tolong panggilkan.

“Kalau tak boleh hantar surat (jemputan) kita sanggup pergi ke pejabat Bloomberg. Biar kita buat dan kita serah kepada pihak Bloomberg sendiri,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar Ibrahim

SPRM dalam satu kenyataan pada 26 September menafikan dakwaan dalam laporan Bloomberg dan menyifatkannya sebagai tohmahan liar.

Meskipun tidak menamakan mana-mana individu, suruhanjaya itu jelas merujuk kepada laporan MalaysiaNow yang memetik artikel daripada Bloomberg.

Gesa saman Bloomberg

Mengulas lanjut, Zahin berkata dakwaan berkenaan adalah perkara yang tidak baik kepada negara dan boleh menjejaskan pemulihan ekonomi.

“Keadaan ekonomi yang sedang berkembang (boleh terjejas). Disebabkan gagal mengawal diri dengan apa jua pendekatan yang diambil oleh kerajaan, boleh jadi rosak kembali disebabkan tindakan yang diambil oleh kerajaan terutamanya perdana menteri untuk menang kes dakwaan ini. Ini perkara serius.

“Ini bukan sahaja kena pada perdana menteri tetapi juga kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Menurut Zahin, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin wujud keperluan untuk mendesak perdana menteri teruskan bersuara dan menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan tersebut.

“Armada (Pemuda Bersatu) menggesa suatu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan oleh Bloomberg demi menjaga nama baik institusi perdana menteri Malaysia dan SPRM.

“Perdana menteri juga digesa memfailkan tindakan saman terhadap Bloomberg ekoran daripada laporan tersebut. Rakyat menanti perdana menteri untuk mengambil tindakan terhadap Bloomberg sekiranya PM benar-benar tidak bersalah dan kami tuntut ia dibuat dalam tempoh tujuh hari,” katanya.

Farhash Wafa Salvador

Farhash pada Mac lalu dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam Heitech Padu Berhad yang memperoleh kontrak RM190 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penyelenggaraan dan sokongan teknikal Infrastruktur ICT termasuk MySikap di pusat data dan pejabat JPJ.

Bagaimanapun HeiTech Padu dalam makluman kepada Bursa Malaysia kemudiannya berkata Farhash tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam syarikat berkenaan.

Pada 19 Mac, Farhash menjelaskan pegangan saham dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan bersamanya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pada April lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa HeiTech Padu menang tender JPJ secara tender terbuka tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) juga sudah menafikan dakwaan bahawa Anwar mengeluarkan arahan kepada SPRM dan ketua pesuruhjayanya Azam Baki untuk tidak menyiasat pemilikan saham berkenaan.

Di sebalik penafian PMO, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari malam tadi mencabar Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg sekiranya dakwaan laporan tersebut tidak benar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS