mk-logo
Berita
Isteri puas hati operasi SAR Sabari
Diterbitkan:  Oct 3, 2024 3:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Isteri kepada pesara Felcra yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dekat Jitra, berpuas hati dengan tindakan pelbagai pihak yang terlibat dalam operasi pencarian suaminya.

Subhiah Roslina Shahibi, 57, berkata beliau memahami kemampuan pihak terbabit dalam usaha mencari Sabari Baharom, 62, memandangkan kejadian telah lama berlaku.

"Dah lama kejadian baru boleh buat operasi mencari dan menyelamat (SAR). Sebelum ni dah berlaku dua kali banjir (di kawasan Sungai Padang Terap) mula-mula seminggu, lepas tu empat hari.

"Dalam tempoh itu banyak kemungkinan. Kita tau arwah dah takda dan andai kata tiada, mesti ada rumusan setiap mula ada akhirnya sama ada baik ada tidak.

"Sebagai orang Islam kita mana nak benda tak elok, semua nak elok, kalau tak ada (jumpa jasad) reda sajalah. Mungkin janji Allah dengan dia (arwah) macam tu," katanya kepada pemberita di Jitra hari ini.

Subhiah Roslina yang bertugas di pejabat Felcra di Kuala Lumpur melawat lokasi suaminya dicampak ke dalam sungai iaitu di Jambatan Kampung Empa dekat sini sebelum kembali ke ibu negara hari ini.

"Kiranya di sini bagaikan 'tanah kubur' arwah la sebab di sinilah kejadian itu berlaku. Insya-Allah saya akan datang lagi ke sini nanti," katanya yang ditemani adik lelakinya.

Subhiah Roslina berkata walaupun sedih kerana harapan untuk menemukan jasad suaminya amat tipis, beliau menerima dugaan itu seadanya.

"Walaupun SAR di sungai ini sudah dihentikan, kita tak tahu lagi lepas ini macam mana. Saya akan sentiasa berhubung dengan pihak polis untuk mengetahui perkembangan siasatan.

"Arwah orang yang sangat baik tapi selalu dianiaya. Arwah mudah mesra dengan sesiapa sahaja walaupun baru dikenali dengan kanak-kanak pun dia boleh berkawan," katanya sambil mengimbas pelbagai kebaikan Sabari semasa hayatnya.

Subhiah Roslina berkata anak perempuannya yang berusia 30-an juga sangat menyenangi arwah walaupun Sabari hanya ayah tiri kerana layanan yang diberikan sangat baik sehingga anaknya amat menyayangi arwah.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 Sept lepas dan kereta Proton Waja dinaikinya kemudian ditemukan hangus di Belantik, Sik.

Polis kemudiannya pada Isnin mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat dan dua lelaki berusia 26 serta 38 tahun ditahan Jumaat lepas bagi membantu siasatan.

Pencarian Sabari ditamatkan oleh pihak polis pada Rabu selepas tiga hari operasi SAR di Sungai Padang Terap digerakkan kerana tidak menemukan sebarang petunjuk.

Operasi pencarian Sabari dalam radius 13 kilometer sepanjang sungai itu membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pihak polis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS