Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) S Subramaniam mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa meneruskan 'serangan' ke atas golongan elit dan orang kaya.
Pemimpin MIPP yang juga parti komponen PN itu berkata kenyataan Anwar terhadap golongan ini seolah-olah dosa menjadi kaya di bawah Kerajaan Madani.
"Kita lihat sejak hari pertama menjadi perdana menteri dia mengasak golongan elit dan kaya dengan pelbagai dakwaan yang membawa naratif bahawa golongan ini tidak peduli dengan pembangunan kerajaan serta menjadi duit yang cara haram.
"Yang terbaru, cadangan Anwar bahawa kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi untuk membiayai pendidikan anak golongan mahakaya.
"Jangan kita lupa, kenyataan dia ketika penyasaran subsidi diesel bahawa golongan ini tidak berhak untuk menerima subsidi.
"Mesej Anwar sangat jelas, dosa kalau kamu jadi kaya di bawah pemerintahan beliau," dakwanya kepada Malaysiakini.
Subramaniam berkata Anwar sepatutnya mencontohi Allahyarham Abdul Khalid Ibrahim ketika bekas menteri besar Selangor itu membuat pengumuman air percuma kepada warga Selangor.
"Ketika ditanya kepada Khalid kenapa dia memberi air percuma kepada semua pihak isu rumah termasuk golongan T20, Khalid membalas: Air percuma ini kepada rakyat Selangor tanpa mengira latar belakang.
"Inilah cara seorang pemimpin mentadbir kerajaan. Bukan seperti Anwar salahkan orang lain demi menutup kelemahan sendiri dalam pentadbiran," dakwanya.
Dalam pada itu, Subramaniam juga meminta perdana menteri supaya tidak mempolitikkan isu pendidikan berhubung isu biasiswa terhadap anak-anak golongan kaya.
"Ramai ibu bapa kaya masih minat menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan. Dan anak-anak mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan, maka mereka layak untuk biasiswa, subsidi dan sebagainya.
"Jadi, apa masalah kerajaan? Jangan hukum anak-anak ini hanya kerana ibu bapanya kaya," katanya.
Sebelum ini, Anwar mengambil beberapa keputusan drastik ke atas golongan T20 termasuk pengurangan subsidi.
Terbaru, Anwar menghantar 'isyarat' yang menunjukkan kerajaan sedang meneliti pengagihan subsidi pendidikan kepada rakyat negara ini.
Tambah Anwar lagi, jika seseorang itu kaya atau benar-benar berkemampuan maka mereka wajar menghantar anak masing-masing belajar dengan perbelanjaan sendiri.