Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerjasama penduduk ubah PPR jadi ‘hotel’ menakjubkan - penganjur

Pengarah Urusan Think City Hamdan Abdul Majeed menyatakan rasa takjub melihat pembaharuan yang dilakukan oleh penduduk terhadap projek perumahan rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di Petaling Jaya, bagi pertandingan kebersihan dan keceriaan di rumah pangsa itu.

Program itu merupakan anjuran Think City, sebuah entiti milik Khazanah Nasional, dan dilancarkan pada April tahun lalu.

Hamdan berkata program itu bertujuan membina kepercayaan dan memupuk kerjasama dalam kalangan penduduk di PPR.

“Apa yang kita lihat daripada hasil kerjasama mereka memang menakjubkan dan hebat. Ini telah dicapai oleh komuniti sendiri.

“Pembaharuan boleh dicapai apabila komuniti bersatu,” kata Hamdan kepada Malaysiakini.

Pertandingan ini memberi tumpuan kepada keceriaan ruangan lif di setiap tingkat.

Setiap blok mempunyai tema seperti alam sekitar, minimalis, lobi hotel serta moden, dan setiap tingkat bebas memilih tema masing-masing.

Setiap tingkat menerima RM500 untuk pertandingan ini, kecuali ruangan lif bawah yang menerima RM3,000.


Baca: Pertandingan ubah PPR jadi ‘hotel’


“Tiada siapa pun yang ketinggalan, semua bersatu di setiap tingkat, berganding bahu dalam pertandingan ini,” kata Hamdan.

Bangga dengan tempat tinggal

Mengulas lanjut, Hamdan berkata kejayaan ini dapat menangkis persepsi masyarakat terhadap PPR dan penduduknya.

“Ada yang kata PPR ini kawasan yang tidak bersih, tidak ceria. 

“Jadi kita ubah persepsi masyarakat dan kini PPR ini boleh dilihat menjadi kawasan yang ceria dan membanggakan,” katanya lagi.

Dia berkata usaha bersama penduduk dapat memupuk rasa bangga mereka terhadap tempat tinggal sendiri.

“Walaupun mungkin tempat tinggal kita kurang selesa, tetapi kita sebagai komuniti dapat hidup dengan martabat dan maruah tinggi.

“Kita usaha ke arah itu dan kita boleh melihatnya pada hari ini (semalam),” katanya lagi.

Koordinator zon 2 projek itu yang hanya mahu dikenali sebagai Noraini (gambar bawah) berkata aspek-aspek yang dinilai ialah kebersihan, keceriaan dan keselamatan.

Pemenang antara blok akan memperoleh RM3,000, diikuti tempat kedua (RM2,000), tempat ketiga (RM1,500).

Pemenang antara tingkat pula akan memperoleh RM500 bagi tempat pertama, diikuti tempat kedua (RM300) dan tempat ketiga (RM200).

Namun, bagi Hamdan, setiap penduduk yang terlibat adalah pemenang.

“Kita tidak lihat kos tambahan yang dikeluarkan tetapi usaha dan imaginasi mereka dalam membawa pembaharuan di ruangan lobi lif,” katanya sambil menambah pertandingan itu akan diteruskan di masa akan datang.

Dia juga berkata akan memberikan laporan program - antaranya berkenaan usaha dan pencapaian yang ditunjukkan penduduk - kepada Kementerian Kewangan agar ia boleh dikembangkan di semua PPR di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS