mk-logo
Berita
PKR, Amanah kurang layak main poker, sesuai mesin kuda - sindir Nur Jazlan
Diterbitkan:  Oct 3, 2024 11:38 AM
Dikemaskini: 4:17 AM

Jika ada pertandingan untuk kiasan politik terbaik, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed barangkali akan menjuarai hadiah utama.

Jazlan pada hantaran terbarunya di media sosial menggunakan perumpamaan permainan daun terup "poker" dan beberapa sindiran lain untuk menekankan kepentingan PH menerima cadangan dan teguran agar perbezaan dalam kerajaan perpaduan dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

"Dalam konteks permainan poker politik ni, hanya mereka yang benar-benar ada skill, kekuatan dan pengalaman saja yang layak dan mampu bertahan di meja utama.

"Bagi saya hanya Umno, DAP dan GPS saja yang boleh diibaratkan sebagai pemain poker profesional yang tahu bila nak “bluff,” bila nak “raise" dan bila nak ambil risiko.

"Parti ini saja pemain sebenar dalam politik Malaysia sejak awal merdeka dulu," kata Jazlan yang juga timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

Bagi PAS yang berharap dapat mengambil kesempatan daripada ketegangan antara Umno dan PH pula, Jazlan memberikan gambaran tidak menyenangkan.

"PAS pun nak tumpang semangkuk? Tak payah lah, PAS kan janda dah expired. Dah pun dah kawin dengan semua orang.

"PAS dah bermadu dengan DAP dan PKR dan dah dapat anak tiri Amanah dah pun. Janganlah kacau Umno nak berbulan madu dengan kerajaan perpaduan ni," kata Jazlan yang juga timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pemimpin bahagian PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir mendakwa Umno sedang dianiaya dalam perkahwinan politik sekarang, tidak seperti ketika parti itu bersama PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, Nur Jazlan menjelaskan konteks permainan poker politik dalam kaitan dengan hubungan antara parti-parti kerajaan campuran.

"Saya nak berikan nasihat kepada Amanah dan PKR, ingatlah, politik ini bukan sekadar harapkan nasib baik ja tau.

"Dalam Kerajaan Perpaduan, Umno dan DAP adalah pemain utama yang menguasai meja poker sebab kita ada kekuatan ahli, penyokong dan jentera," katanya.

PKR, Amanah bukan parti dominan k’jaan

Jelas Jazlan lagi Amanah dan PKR kena sedar mereka tidak ada kelebihan tersebut.

"Jadi mereka patut tak boleh duduk di meja poker. Biarlah saya cakap terus terang; bukan setakat dalam politik di nasional saja, politik di peringkat politik Johor pun Amanah dan PKR kurang layak duduk semeja main poker politik ni.

"Mereka hanya sesuai duduk depan mesin kuda atau main roulette saja, sebab mereka mengharapkan nasib baik dan kekalahan lawan sahaja dan bukan kekuatan jentera parti atau strategi," katanya.

Jazlan berkata, setiap kali ada peluang, PKR dan Amanah menuntut lebih banyak kerusi dan jawatan walaupun mereka bukan kuasa dominan dalam gabungan itu.

"Realitinya, mereka ini hanya passengers (penumpang) yang nak rebut seat (kerusi) dalam kapal terbang yang dikemudi dua pilot iaitu Umno dan DAP.

"Kadang-kadang tuntutan mereka buat saya tergelak, seolah-olah lupa siapa sebenarnya pemain utama dalam Kerajaan Perpaduan ini," katanya.

Walaupun Umno-BN hanya kurang satu kerusi parlimen berbanding PKR namun Umno tetap menjadi faktor penting dalam landskap politik manakala DAP mempunyai sokongan kuat di kawasan bandar dan dalam kalangan bukan Melayu.

"Amanah pula dengan hanya lapan kerusi parlimen tapi nampak gelojohnya tak boleh bawa berbincang macam mereka kuasa besar.

"Tapi bila bercakap tentang kuasa politik sebenar, bagi saya Amanah hanya jadi penumpang kepada PH atau lebih tepat lagi komrad DAP," katanya lagi.

Jazlan menegaskan, tegurannya demi kepentingan kerajaan campuran dan tidak mahu parti-parti ini menghadapi pilihan raya umum akan datang dalam keadaan sama, terutama ketika PN bergantung kepada retorik dan label yang tidak menyenangkan untuk lawan mereka, khususnya DAP dan PKR.

Dia turut mengingatkan kerjasama ini mesti dibina atas dasar kepercayaan dan keikhlasan. Jika PH tidak bersedia berkompromi dalam isu penting seperti pembahagian kerusi dan menjaga pengundi, kata Jazlan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) boleh menjadi "mimpi ngeri yang berulang."

Jazlan juga mendakwa ada pihak dalam PH yang bimbang dengan kebangkitan semula Umno, kerana takut parti mereka akan dipinggirkan dan ini menimbulkan ketegangan yang boleh menggugat kerajaan gabungan pada PRU16.

"Jadi lebih baik ketegangan urat ini dirawat dengan akupunktur lebih awal dan hilangkan segala was-was yang ada sekarang.

"Jangan tunggu sampai akhir tempoh kerajaan perpaduan ini untuk menghilangkan was-was.

"Jadi jangan risau, insyallah kerajaan perpaduan ini dijamin 'halal'," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS