Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 hingga 6 episod hujan lebat diramal antara Nov-Mac
Diterbitkan:  Oct 3, 2024 11:36 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada Nov ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan, dengan empat hingga enam episod hujan lebat berpanjangan berlaku sepanjang tempoh itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang berkata episod hujan lebat itu dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara Nov hingga Dis manakala yang lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak bermula Dis hingga Jan 2025.

“Selain itu, hujan berterusan juga mungkin berlaku di negeri-negeri pantai barat sekiranya terdapat luruan monsun yang kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara.

“Kebanyakan tempat dijangka mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata, kecuali beberapa kawasan di utara dan timur Semenanjung serta timur Sabah, yang dijangka menerima hujan sedikit atas paras purata pada fasa awal MTL,” katanya ketika berucap pada Forum Iklim Kebangsaan (FIK) bertemaka Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Barisan Hadapan di Putrajaya hari ini.

Katanya pada penghujung MTL (Feb hingga Mei), beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang, serta Kelantan dan Terengganu dijangka akan mengalami cuaca yang kering dan kurang hujan.

Tambahnya masalah jerebu setempat dan rentas sempadan, serta gelombang haba juga dijangka akan berlaku dalam tempoh tersebut.

“Untuk menangani masalah jerebu, MetMalaysia mengambil inisiatif untuk menghasilkan model sebaran aerosol dan agen pencemar atmosfera bagi menyokong operasi harian jabatan, terutama semasa musim jerebu dan kering,” katanya.

Selain itu, kata Ambun, MetMalaysia turut menyediakan Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran (FDRS) untuk mengenal pasti kawasan yang berpotensi berlaku kebakaran hutan serta tanah gambut.

Selain perkhidmatan cuaca dan iklim, Ambun berkata, MetMalaysia juga memainkan peranan penting menyediakan perkhidmatan berkaitan gempa bumi dan tsunami.

Dalam usaha memperkukuhkan sistem perkhidmatan gempa bumi dan tsunami, tambahnya, MetMalaysia melaksanakan projek yang melibatkan penambahan 23 siren tsunami, 17 stesen tolok pasang surut, enam stesen seismologi dan penambahbaikan sistem pemprosesan maklumat gempa bumi dan tsunami.

“Melalui projek ini, kita dapat mengukuhkan keupayaan sistem perkhidmatan gempa bumi dan tsunami sedia ada serta meningkatkan penyampaian maklumat kepada masyarakat, sekali gus mengurangkan risiko bencana gempa bumi dan tsunami di Malaysia,” katanya.

FIK merupakan forum tahunan yang diadakan sejak 2011 yang menjadi platform kerjasama antara agensi pengurusan bencana berkongsi maklumat dan pandangan.

Forum itu juga merangka dan menyusun strategi terbaik dalam meningkatkan pengurusan bencana negara, terutama dalam menghadapi MTL.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS