Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes polis: Anwar jangan pandai janji tapi tak dikota - Hanipa

Perdana Menteri Anwar Ibrahim jangan menjadi seorang pemimpin yang hanya pandai menabur janji tetapi gagal menunaikannya, kata pemimpin Amanah Mohamed Hanipa Maidin.

Bekas timbalan menteri undang-undang itu menggesa pengerusi PH - yang selama lebih dua dekad memperjuangkan reformasi dan keadilan - untuk bertindak dalam kes-kes melibatkan pihak polis.

Hanipa mengulas mengenai kes kematian dalam tahanan melibatkan seorang lelaki Orang Asli berusia 25 tahun di Pahang.

Dia juga mengingatkan kenyataan Anwar bulan lepas mengenai serangan yang dialaminya semasa di penjara pada tahun 1998.

Oleh demikian kata Hanipa perdana menteri tidak perlu lebih banyak penjelasan mengenai perkara ini.

Anwar ketika itu berjanji bahawa pentadbirannya komited untuk menyelesaikan isu penderaan dan kematian dalam tahanan.

"Kalau orang bicara tentang ada kebimbangan tentang penderaan dalam lokap, tak perlu yakinkan saya, kerana saya tahu apa yang dirasakan.

"Kita rasa bagaikan tidak terdaya lagi apabila diserang hingga hampir mati semasa dalam tahanan," kata perdana menteri.

Meskipun Hanipa berterima kasih kepada Anwar atas janji itu namun dia menegaskan ia satu kelemahan.

“Malangnya, ramai percaya perdana menteri, dengan segala hormat, hanya pandai membuat janji tetapi agak lemah dalam menunaikan janji-janji tersebut.

“Ya, dia berjalan dan bercakap, tetapi sering kali dia gagal mengotakan janji-janji itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Hanipa menegaskan rakyat Malaysia tidak lagi berminat mendengar janji tetapi mahu melihat pelaksanaannya.

“Lagipun, kita telah mendengar dan melihat banyak janji daripada beliau atau kerajaan beliau,” tambahnya.

Hanipa juga menimbulkan isu serangan terhadap seorang pemandu e-hailing yang juga OKU pendengaran Ong Ing Keong oleh seorang anggota polis yang masih belum diselesaikan walaupun terdapat bukti video.

"Kerajaan telah gagal secara teruk untuk menyelesaikan kes keadilan jenayah yang agak mudah, iaitu membawa pelaku yang didakwa menyerang seorang individu yang terdedah kepada tindakan undang-undang," tambahnya.

Sebelum ini, Hanipa pernah menyindir Anwar yang mendakwa sesetengah kes memakan masa, berkata mungkin Anwar menganggap kes tersebut lebih rumit daripada skandal 1MDB.

Isnin lalu, sebuah kumpulan tokoh-tokoh pesara perkhidmatan awam G25, mengulangi desakan mereka berhubung serangan yang berlaku pada 28 Mei dan berjanji untuk tidak membiarkan perkara itu berlalu sehingga keadilan ditegakkan.

Bagi kes melibatkan tahanan Orang Asli itu, Hanipa berkata amat "menghairankan" apabila ibu kepada si mati masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa tentang apa yang berlaku di dalam lokap.

Pada 26 September, Malaysiakini melaporkan Noriah Hitam, 51, mendakwa dia dinafikan maklumat tentang keadaan sekitar kematian anak sulungnya, Norazman Me.

"Dia berada dalam jagaan polis, ada CCTV (kamera litar tertutup) dan ada sentri (pengawasan anggota bertugas).

"Takkan mereka tak tahu kalau anak saya itu cuba 'bunuh diri' ketika dalam lokap yang berada dalam kawasan balai polis," katanya.

Norazman, yang merupakan bapa tunggal kepada seorang anak berusia enam tahun, ditangkap pada 1 Mei berkaitan kes kecurian motosikal. Dia ditemui mati di dalam selnya tiga hari kemudian.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS