Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Veteran Umno saran 'jalan tengah' atasi kemelut perpaduan di Johor

Perdebatan berhubung gesaan agar kerajaan perpaduan diwujudkan di peringkat Johor dilihat masih belum terungkai selepas pemimpin Umno negeri terbabit menyambut gesaan PH dengan dingin.

Justeru pemimpinan veteran Umno tampil dengan 'jalan tengah' tersendiri bagi merungkai kemelut berkenaan.

Setiausaha Veteran Umno Malaysia Mustapha Yaakub berkata kerajaan perpaduan di Johor boleh diwujudkan dan ada jalan yang boleh diambil tanpa merugikan mana-mana pihak.

Malah katanya perpaduan antara PH dan BN dapat dibina tanpa perlu merombak atau mengubah keberadaan barisan exco Johor.

Jelas Mustapha, penglibatan parti selain BN di Johor boleh dipertimbangkan untuk menyumbang di peringkat agensi-agensi kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Pada pandangan saya kerajaan perpaduan di Johor boleh diwujudkan tetapi tidak perlu hingga melakukan rombakan barisan exco.

"Mungkin ia boleh direalisasikan melalui pembabitan agensi di bawah kerajaan negeri termasuk PBT seperti lantikan ahli majlis," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu gesaan supaya kerajaan perpaduan di Johor dibangkitkan semula oleh Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda selepas kemenangan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota, baru-baru ini.

Bagaimanapun perkara itu ditolak oleh kepimpinan Umno kerana menganggapnya tidak ada keperluan.

Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr Akmal Saleh, berkata hal itu kerana Johor di bawah pimpinan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dan barisan exco sudah terbukti mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik sehingga menyumbang kepada kemenangan PRK DUN Mahkota.

Katanya, atas dasar itu momentum berkenaan perlu diteruskan sehingga habis penggal pentadbiran sedia ada.

"Jangan letakkan tekanan kepada menteri besar kerana kepimpinannya terbukti sangat baik menjalankan tanggungjawab menjaga negeri Johor," katanya dipetik sebagai berkata.

Sebelum itu ketiadaan kerajaan perpaduan di negeri tersebut menyaksikan Amanah menunjukkan minat untuk menyertai PRK Mahkota.

Untuk rekod kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Kluang itu pernah dimenangi Amanah - bagi pihak PH - dalam PRU ke-15 yang diadakan pada 2018.

Menurut Mustapha untuk menjayakan kerajaan perpaduan di Johor, semua pihak yang berkenaan perlu berjiwa besar.

"Bagi merealisasikan (cadangannya) itu semua pihak perlu berjiwa besar dan yang penting tidak mengganggu pentadbiran kerajaan negeri sedia ada," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS