Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BDS Malaysia: 8 aktivis disoal polis isu protes Caterpillar
Diterbitkan:  Oct 2, 2024 9:01 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Lapan aktivis disoal siasat polis pagi ini selepas menganjurkan protes terhadap Sime Darby Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mereka dakwa bekerjasama dengan syarikat pengedar jentera berat Caterpillar pada 20 Sept di Menara Merdeka 118.

Boycott, Divestment, Sanction (BDS) Malaysia menyeru orang ramai untuk solidariti dengan individu yang terlibat dan mengesahkan komitmennya untuk memastikan syarikat berkenaan bertanggungjawab atas sokongan terhadap tindakan Israel di Gaza.

“Kami tidak akan diintimidasi,” kata BDS Malaysia, sambil berikrar terus menekan syarikat-syarikat yang menyokong atau membantu pembunuhan beramai-ramai yang berterusan dan pendudukan haram oleh Israel di Palestin.

BDS menegaskan bahawa protes itu bertujuan menarik perhatian kepada penglibatan Caterpillar dalam dakwaan jenayah perang di Gaza, dengan syarikat itu membekalkan jentera yang digunakan oleh rejim Israel untuk merobohkan rumah dan infrastruktur Palestin.

Ia seterusnya mendakwa bahawa tindakan Caterpillar melanggar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, yang melarang syarikat itu daripada terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai dan pendudukan haram wilayah Palestin.

Menurut BDS Malaysia, Sime Darby Industrial, pengedar utama peralatan Caterpillar di rantau Asia-Pasifik, dimiliki oleh Sime Darby, yang pemegang saham utamanya ialah PNB.

Semasa protes itu, PNB digesa menekan Sime Darby Berhad untuk memutuskan hubungan dengan Caterpillar.

Ketika laporan ini disiarkan, Malaysiakini telah menghubungi polis untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai siasatan itu.

Pada Jun, dana pencen Norway KLP menjual hampir AS$70 juta saham Caterpillar, memetik kebimbangan bahawa peralatan syarikat itu digunakan untuk melanggar hak asasi manusia di Palestin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS