Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim pada PM: Pendidikan tanggungjawab kerajaan, bukan beban
Diterbitkan:  Oct 2, 2024 8:48 PM
Dikemaskini: 12:48 PM

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menimbang semula cadangan untuk mungkin menghentikan subsidi pendidikan kepada golongan kaya di sekolah kerajaan.

Tuan Ibrahim berkata pendidikan adalah tanggungjawab kerajaan dan tidak seharusnya dilihat sebagai bebanan.

Dia berkata hampir semua negara di dunia melihat pendidikan sebagai satu pelaburan untuk masa depan.

“Saya tidak bermaksud ingin menyebelahi golongan kaya dan menidakkan usaha membantu golongan miskin, kerana kedua-duanya adalah rakyat yang perlu disantuni kerajaan

“Namun hasrat kerajaan untuk mengenakan bayaran pendidikan yang mahal kepada anak-anak golongan kaya dengan alasan mereka mempunyai pendapatan yang tinggi perlu diperhalusi dan dipertimbagkan dengan sebaik-baiknya. 

“Umum mengetahui  lebih besar pendapatan individu maka lebih besar zakat dan cukai yang  dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kerajaan perlu lebih kreatif mencari jalan untuk memastikan sistem pendidikan boleh dinikmati rakyat secara murah atau percuma.

Misalnya, kata Tuan Ibrahim, kerajaan boleh melihat model pendidikan yang dibiayai melalui sistem waqaf, seperti Universiti Al-Azhar di Mesir, di mana pelajar miskin diberi bantuan pendidikan seperti biasiswa atau pengecualian yuran pengajian.

Tuan Ibrahim juga membangkitkan isu yang menurutnya patut dibimbangi kerajaan, seperti semakin ramai pelajar lepasan SPM yang tidak berminat menyambung pengajian dan lebih memilih untuk bekerja dalam sektor gig-ekonomi atau perkilangan.

“Negara akan terdedah kepada risiko kehilangan tenaga kerja mahir pada masa hadapan dengan situasi ini. 

“Oleh itu, kerajaan harus terus memberi galakan dan bantuan pelajar cemerlang tanpa mengira status pendapatan keluarga mereka,” katanya lagi.

Pada Isnin lalu, Anwar menghantar 'isyarat' yang menunjukkan kerajaan sedang meneliti pengagihan subsidi pendidikan.

Anwar berkata kerajaan mahu memastikan subsidi sebegitu disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak namun pada masa ini, peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan turut banyak dinikmati golongan elit dan maha kaya.

"Bagaimana harus kita lakukan? Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan harus dihentikan,” kata Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS