Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Orientasi di universiti sebagai pembendungan akal

ULASAN | Sekitar lapan tahun lepas saya pernah menulis tentang keperluan minggu orientasi atau suai kenal mahasiswa diubah bagi memastikan mahasiswa baru memiliki minda yang betul ketika melangkah ke menara gading.

Saya tidak menyangka orientasi mahasiswa tahun 2024 di beberapa universiti masih lagi sama – sesuatu yang saya gelarkan sebagai pembendungan intelektualisme – hanya dipenuhi dengan aktiviti dangkal seperti doktrinisasi, tarian, mencari tandatangan fasilitator, dan jenaka klise.

Ketidakupayaan universiti untuk beradaptasi dan memeluk budaya keilmuan pada program pertama dihadiri mahasiswa baru mengundang krisis pemikiran masyarakat yang sedang tenat.

Mahasiswa yang sepatutnya diminta berfikir akan jatuh akalnya kerana terlalu khusyuk mengikut rentak tarian minggu orientasi. Hanya kerana proses pembendungan mahasiswa ini telah berlangsung dengan lama dan telah dianggap sebahagian daripada tradisi, tidak bermakna ia perlu diteruskan.

Sekali-sekala saya tertanya-tanya bagaimana sesebuah universiti yang memiliki begitu ramai sarjana dengan pelbagai gelar membenarkan pembendungan akal terus berlaku?

Mahasiswa diperlukan sebagai semak imbang

Pergerakan mahasiswa pasca pandemik Covid-19 berlangsung agak perlahan jika dibandingkan pergerakan aktivisme mahasiswa sebelum itu. Kita memiliki sekumpulan mahasiswa yang bergraduasi tetapi tidak pernah hadir ke kelas fizikal, apatah lagi terlibat dengan aktivisme mahasiswa.

Apabila hal ini berlaku, mahasiswa pandemik ini tidak mampu mewariskan apa-apa panduan dan rekod kepada mahasiswa baru untuk bergerak aktif. Keadaan ini menyebabkan mahasiswa yang baru tidak memiliki idea tentang bagaimana pergerakan aktivisme mahasiswa di Malaysia berlaku.

Kebanyakan ‘mahaguru’ dalam aktivisme mahasiswa pula sudah mendapatkan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan, sudah tentu ‘mahaguru-mahaguru’ ini sudah tidak memiliki masa untuk membantu aktivisme mahasiswa seperti ketika menjadi pembangkang.

Pada pandangan saya, Malaysia sedang berhadapan dengan krisis pembangkang yang tidak kompeten dalam memainkan peranan mereka. Saya melihat mereka terlalu bergantung dengan isu 3R (raja, agama, kaum), sehingga kritikan penting dalam pembinaan dasar-dasar kerajaan terabai.

Bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab dan terus teliti dalam pembinaan dasar, peranan pembangkang penting – peranan semak imbang juga boleh dimainkan oleh mahasiswa. Universiti memiliki pelbagai kursus yang penting dalam pembinaan dasar – mahasiswa daripada kursus-kursus yang berkaitan seharusnya lebih sensitif dengan dasar-dasar berkaitan kursus mereka berbanding melaburkan emosi dengan menangis ketika melihat fasilitator bergaduh ketika minggu orientasi.

Selain mahasiswa, para pensyarah juga perlu bertanggungjawab dalam membentuk peribadi mahasiswa. Apabila saya bercakap berkaitan aktivisme mahasiswa – saya tidak bermaksud semua mahasiswa perlu menjadi aktivis yang vokal terhadap kerajaan, kita hanya perlukan sebilangan kecil mahasiswa yang mengisi peranan ini, malangnya pada ketika ini, ia kelihatan suram.

Mahasiswa datang silih berganti, tetapi para pensyarah akan bekerja di universiti bertahun-tahun lamanya. Kegagalan mereka mengenal pasti masalah minggu orientasi ini membuktikan ada yang tidak kena dengan sistem di universiti kita.

Apabila masalah asas yang setiap tahun wujud mereka tidak lihat, bagaimana mungkin masyarakat boleh bergantung harap kepada para sarjana di universiti untuk mencari masalah-masalah yang tersembunyi dalam masyarakat?

Bagaimana bergerak ke hadapan?

Hal pertama yang perlu dilakukan oleh universiti adalah mengiktiraf para mahasiswa sebagai orang dewasa yang perlu dihormati tahap pemikirannya. Apabila universiti mula mengiktiraf kumpulan mahasiswa sebagai orang dewasa, saya pasti universiti tidak akan tergamak untuk menghidangkan mereka program-program yang bersifat kanak-kanak.

Program orientasi ini sepatutnya ringkas sahaja, dipenuhi dengan hal-hal penting seperti taklimat umum berkenenaan universiti, pendaftaran subjek, dan diskusi ilmu – saya rasa semua ini boleh dilakukan dalam sehari.

Selain itu, universiti bolehlah berhenti untuk menakutkan mahasiswa dengan pelbagai ancaman yang sesetengah daripadanya telah bercanggah dengan Perlembagaan. Misalnya ancaman kepada mahasiswa berkenaan mengkritik atau berdemonstrasi terhadap universiti. Pada era digital, mahasiswa boleh mencari sendiri dan menyemak fakta-fakta yang diberikan. Apabila mahasiswa dihormati sebagai dewasa, sudah tentu hal seperti ini tidak berlaku.

Buday keilmuan tidak berlaku melalui monolog, tetapi melalui perbincangan-perbincangan yang kritikal dalam keadaan terbuka. Apabila universiti berhadapan dengan sekumpulan mahasiswa vokal, mereka tidak seharusnya dihukum atau digunakan sebagai contoh yang buruk.

Mengambil semangat keilmuan, kumpulan mahasiswa seperti ini sepatutnya diberikan ruangan terbuka oleh universiti untuk berdebat atau berdialog. Perbincangan tersebut pula harus menghala kepada perubahan-perubahan yang progresif, bukan sekadar formaliti seperti memasukkan mahasiswa ke jawatankuasa tinggi universiti tetapi hanya berfungsi sebagai tunggul kayu.


RAHMAN IMUDA merupakan bekas aktivis mahasiswa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS