Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: Terengganu berhati-hati kendali tindakan sita - MB

Kerajaan Negeri Terengganu lebih berhati-hati dalam mengendalikan urusan sitaan terhadap premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan meneliti dari sudut perundangan terlebih dahulu bagi mengelakkan risiko saman daripada mana-mana pihak.

“Kita akan tengok dari segi peruntukan undang-undang, apa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkuasa negeri boleh buat. Kita biar ikut peraturan… kalau tidak akan ada risiko saman.

“Akan ambil masa sedikit untuk rujuk pihak berkuasa agama dan undang-undang sebelum mengambil langkah seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Terengganu Penggal 2024-2026, di Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Samsuri sebelum ini dilaporkan berkata urusan pembatalan atau penggantungan lesen akan ditentukan hasil mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang diadakan baru-baru ini.

"Belum ada kemas kini soal lesen ini. Isu lain pun kita akan tengok sekali gus mengelakkan kelompongan dalam penguatkuasaan yang boleh membuka tindakan undang-undang pula (dari GISBH)," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS