Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bangunan GISBH: Kelantan tak mahu dilihat ambil kesempatan
Diterbitkan:  Oct 2, 2024 6:19 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Kerajaan Kelantan akan membuat penilaian secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan sama ada untuk membeli bangunan yang disewa GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) atau sebaliknya.

Hal itu kerana, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, kerajaan negeri tidak mahu tersalah langkah menangani isu berkenaan.

Kerajaan negeri juga, katanya, mempunyai kekangan tertentu untuk bertindak sedemikian.

"Kita akan tengok macam mana, takut orang kata kita ambil kesempatan... kita tengok nanti macam mana.

"Sebab kerajaan negeri tak boleh nak beli begitu, tapi kalau agensi kerajaan negeri (bolehlah)," katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat exco di Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.

Ketika ini antara aset syarikat GISBH di Kelantan ialah bangunan yang disewa mereka untuk dijadikan hotel di Jalan Long Yunus, Kota Bharu.

NST pada 25 Sept lalu melaporkan, pemilik bangunan berkenaan telah memutuskan untuk menjual tanah dan bangunannya pada harga RM3.8 juta.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Wan Kamil berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan keluarganya dan kontroversi yang membabitkan kumpulan GISB baru-baru ini.

Wan Kamil berkata, dia menyewakan tanah dan bangunan itu kepada seorang ahli kumpulan terbabit pada akhir perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 melanda.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan terhadap GISBH.

“Kami serahkan kepada jabatan agama Islam negeri dan polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS