Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM tubuh pasukan khas siasat kematian pakar di Lahad Datu
Diterbitkan:  Oct 2, 2024 4:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Kerajaan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kematian seorang pakar perubatan patologi yang berkhidmat di Hospital Lahad Datu.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pasukan penyiasat itu akan diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dollah, serta dibantu lima anggota lain.

Katanya pasukan petugas khas tersebut - yang berkuat kuasa mulai 10 Okt ini - diberi tugas untuk menyiasat dan menganalisis input daripada kematian pakar patologi kimia serta budaya kerja di hospital berkenaan.

Menuru Dzulkefly, mereka juga dikehendaki mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum, dan di jabatan patologi secara khusus.

"(Juga) mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut ahli parlimen Kuala Selangor itu lagi, pasukan berkenaan turut diberi tugas menyediakan laporan cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan.

Malaysiakini pada 15 Sept lalu menyiarkan laporan mengenai kematian Dr Tay Tien Yaa yang dipercayai kesan daripada amalan buli.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, malah berkata pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan dibuat ahli keluarga mangsa tetapi polis belum dapat menentukan punca kejadian tersebut.

Dr Tay Tien Yaa

Menurut makluman kematian yang dikeluarkan oleh Hospital Lahad Datu, Tay meninggal dunia pada 29 Ogos.

Adiknya dalam satu hantaran di Facebook mendakwa Tay melapor diri di Hospital Lahad Datu pada Feb lalu meninggal dunia akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.

Dzulkefly berkata KKM memang tidak bertolak ansur sama sekali dengan perlakuan buli di tempat kerja.

Katanya lima anggota pasukan petugas khas tersebut ialah Prof Dr Siti Hamisah Tapsir yang merupakan mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Dr Haji Azman Abu Bakar (bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) dan berpengalaman 35 tahun bersama KKM); Mohamad Fazin Mahmud (bekas pegawai kehakiman dan penasihat undang-undang pelbagai kementerian termasuk KKM); Prof Dr Looi Lai Meng (profesor ulung pertama di Malaysia dalam bidang patologi dan kini menjadi perunding kanan Pusat Perubatan Universiti Malaya; dan Prof Dr Chan Lai Fong (pakar perunding kanan psikiatri di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia).

"KKM komited untuk memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif.

"Kami yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada semua warga KKM selaras dengan visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Malaysia Madani," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS