Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
UUM siasat kes nama silap di Tugu Peringatan Sintok

Universiti Utara Malaysia (UUM) akan mewujudkan pasukan petugas khas bagi menyiasat aduan berhubung kesilapan nama seorang anggota polis yang diabadikan pada Tugu Peringatan Sintok.

Ketua Pustakawan UUM Profesor Che Azlan Taib berkata pasukan petugas khas itu akan meneliti semua aspek berkaitan isu berkenaan.

Katanya, penelitian kepada kajian awal yang telah dibuat oleh penyelidik terdahulu yang menyenaraikan nama di tugu berkenaan.

“Penelitian (akan memberi tumpuan) kepada fakta penelitian terkini yang diutarakan dan dikongsi oleh pengadu.

“Setelah mendapat fakta yang sah dan diperakui oleh pihak berkuasa, UUM akan mengambil tindakan lanjut bagi tujuan pengubahsuaian nama di tugu tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan aktivis sejarah Mohd Azlan Mohd Sharif mendedahkan terdapat kesilapan pada nama seorang anggota polis yang diabadikan pada Tugu Peringatan Sintok di UUM itu.

Menurut Mohd Azlan yang merupakan ahli seumur hidup Persatuan Sejarah Malaysia, nama Allahyarham Mohd Nor Tumin ditulis sebagai “Mohd Nordin Tumin” pada tugu itu, dan dia menggesa UUM memperbetulkan kesilapan itu.

Difahamkan allahyarham antara lapan anggota polis hutan yang terbunuh dalam satu serangan hendap Komunis pada 1975 di kawasan sekitar Bukit Kayu Hitam di sempadan Malaysia-Thailand.

Allahyarham dikebumikan di Senggarang, Batu Pahat dan meninggalkan seorang balu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS