Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib 'tokoh paling berkuasa' sokong bekas CEO 1MDB - Pendakwaan

KES 1MDB | 'Orang paling berkuasa' dan 'tokoh berpengaruh' Najib Razak menyokong tindakan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kata pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas perdana menteri berkenaan berada di pusat tindakan Shahrol dan ahli-ahli pengurusan syarikat pelaburan Malaysia itu.

"Najib di tengah-tengah semua orang ini, dia yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan serta pengerusi lembaga penasihat (1MDB). Mereka tidak boleh lari daripadanya.

"Shahrol, adakah dia akan melakukan semua tindakannya jika dia tidak mempunyai sokongan daripada orang paling berkuasa, seorang tokoh berpengaruh?

Gambar fail, bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Adakah dia (Shahrol) berani melakukan itu, menjalankan sesuatu tanpa kelulusan lembaga (1MDB), menandatangani perjanjian, adakah dia berani tanpa sokongan?

"Walaupun dia (Shahrol) telah melampaui lembaga, pada akhirnya, transaksi tersebut tetap berjalan, Najib kata okay, semua transaksi tersebut diluluskan," kata Akram pada perbicaraan hari ini yang melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion terhadap Najib.

Pasukan peguam bela tertuduh mendakwa Najib tidak tahu atau terlibat dalam sebarang kesalahan di 1MDB dan penyelewengan di dana Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu sepenuhnya didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli pengurusan dana tersebut.

Peguam Najib sebelum ini menyoal kredibiliti saksi pendakwaan seperti Shahrol, mendakwa mereka bersekongkol dengan Low yang masih bebas.

Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah dijangka mendengar hujahan balas daripada peguam utama pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah esok.

Hadapi 25 pertuduhan

Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan melibatkan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib, 71, didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank yang sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 September 2018, dan perbicaraan terhadapnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Pada 30 Mei tahun ini, pendakwaan menutup kesnya, enam tahun selepas bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada penghujung 2018.

Prosiding kini berada di peringkat penghujahan lisan, yang tidak melibatkan keterangan saksi, dan hanya pasukan peguam dan pendakwa akan mmebuat rumusan terakhir berdasarkan bukti lisan dan bukti berdokumen.

Seramai 50 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, termasuk bekas penasihat undang-undang 1MDB Jasmine Loo.

Loo didakwa sebahagian daripada kumpulan dalang utama 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low). Pihak berkuasa masih menjejaki Low.

Pihak pendakwaan mendakwa Najib menerima RM2.27 bilion wang yang diselewengkan daripada dana kekayaan berdaulat tersebut antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan peguam Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku yang berlaku dalam 1MDB dan jika ada sebarang kesalahan yang berlaku, ia sepenuhnya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan dana tersebut.

Bekas menteri kewangan itu juga sebelum ini menyatakan bahawa Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi berjanji untuk memberikan sumbangan kewangan kepada tertuduh bagi tujuan politik.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengetuai pihak pendakwaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS