Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CEO Mada mohon maaf tak salam Mat Sabu
Diterbitkan:  Oct 2, 2024 2:12 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perniagaan Peladang (Mada) Sdn Bhd Abdullah Ismail membuat permohonan maaf terbuka kerana tidak bersalam dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Berdasarkan video yang tular, Mohamad dalam lawatan kerja di Kedah, kelmarin menghulurkan tangan kepada Abdullah tetapi dia hanya tersenyum tidak menyambut salamnya.

Bagaimanapun, Abdullah menjelaskan dia telah bersalam dengan Mohamad sebaik sahaja dia keluar dari kereta.

“Ketika mengiringi YBM KPKM bersalaman dengan pegawai lain, beliau telah menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengan dengan saya. 

“Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau sebelum itu, saya jadi terkedu dan saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau,” katanya.

Dia justeru berharap “salah faham” itu diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatannya.

Insiden yang tular itu dikongsi oleh netizen yang menyedari perkara berkenaan dalam klip video liputan program Mohamad ketika menyampaikan sumbangan buat pesawah, petani dan penternak yang terjejas banjir di Kedah pada 30 Sept lalu.

Mada yang dikenali sebagai MadaCorp ditubuhkan pada 1975 oleh ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) iaitu sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS