Pergeseran di antara pemimpin parti kerajaan dalam beberapa isu khususnya akhir-akhir ini semakin membimbangkang Veteran Umno Malaysia.
Setiausahanya, Mustapha Yaakub, jika ia tidak dikawal pergeseran tersebut akan semakin meningkatkan ketegangan dan tidak mustahil memberi kesan pada politik akan datang.
“Sekiranya pergeseran ini berterusan maka ia akan memberi kesan kepada persediaan menyiapkan strategi bagi menghadapi PRU ke-16 nanti.
“Kami bimbang jika keadaan ini tidak terkawal maka jodoh kerjasama kerajaan perpaduan sekarang tidak panjang.
"Perlu dingatkan bahawa kerjasama ini amat rapuh. Jika 'hantukannya' kuat maka tidak mustahil ia akan pecah berderai,” katanya dalam satu kenyataan.
Di sebalik pembentukan kerajaan perpaduan, hubungan di antara Umno - khususnya melibatkan ketua pemudanya - dengan DAP jarang berada dalam keadaan tenang.
Antara isu yang paling ketara melibatkan sijil pengesahan halal. Perang mulut di antara Ketua Pemuda Umno Malaysia, Akmal Saleh, dengan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok, berlanjutan sehingga ke mahkamah.
Kemenangan calon kerajaan di DUN Mahkota dalam PRK di Johor pada 28 Sept lalu turut membawa tempias kepada ketegangan berkenaan. Sekali lagi ia melibatkan Akmal dan DAP.
Mustapha berkata jika benar BN dan PH mahu meneruskan kerjasama sedia ada bagi menghadapi PRU akan datang, pergeseran dan cabar mencabar ketika ini hendaklah dihentikan.
Katanya Veteran Umno mencadangkan supaya satu persetujuan bersama dibuat di antara semua pihak yang terlibat bagi mengelakkan sebarang pertelingkahan berlanjutan.
“Pucuk pimpinan BN dan PH hendaklah membuat ketetapan dan kesepakatan bagi memberi arahan kepada pemimpin di semua peringkat mematuhinya.
“Pemimpin DAP juga perlu berhenti daripada membangkit isu-isu menyentuh Islam, raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang dipersetujui bersama sebelum pembentukan kerajaan perpaduan,” katanya.
Turut diperingatkan Veteran Umno ialah agar sebarang kenyataan berbentuk provokasi oleh mana-mana pemimpin parti hendaklah dihentikan.
“Sekiranya terdapat rasa tidak puas hati maka ianya hendaklah disalurkan melalui pucuk pimpinan parti,” katanya.