Pemuda Bersatu (Armada) mendakwa, golongan mahakaya tidak ambil peduli isu subsidi bagi membiayai pendidikan seperti yang dibangkitkan secara "murahan" oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa golongan elit tidak menghantar anak masing-masing ke sekolah atau institusi pendidikan kerajaan.
Sebaliknya kata ahli parlimen Machang itu, golongan hartawan menghantar anak-anak mereka sekolah antarabangsa yang menelan belanja sehingga puluhan ribu ringgit sebulan.
Dakwa Wan Ahmad Fayhsal, golongan terbabit tidak berminat jika anak mereka memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Bagi saya (kenyataan) itu hanya retorik murahan perdana menteri untuk menyerang dan melaga-lagakan kelas masyarakat di bawah dengan contoh yang tidak munasabah.
“Golongan mahakaya sebenarnya tidak mendapat manfaat dan tidak peduli pun mengenai SBP atau MRSM yang mendapat subsidi kerajaan ini," katanya yang dipetik Sinar Harian hari ini.
Anwar pada Isnin dilaporkan memberi bayangan bahawa kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi untuk membiayai pendidikan anak golongan mahakaya.
Menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tidak adil, Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan, dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan memerlukan.
“Sekadar yang saya faham, terdapat anak-anak golongan kaya yang menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan berbanding golongan miskin.
"Bagaimana harus kita lakukan? Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan harus dihentikan," katanya.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, ada kemungkinan Anwar tidak faham realiti sebenar melibatkan golongan elit, atau perdana menteri terbabit sengaja buat-buat tidak faham.
"Jadi saya rasa tak betullah apa yang perdana menteri cakap tu,” katanya.
Semalam, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menolak cadangan perdana menteri dan menganggapnya sebagai sekadar kata-kata manis, sedangkan ia membawa maksud, sektor pendidikan negara bakal diswastakan untuk mengenyangkan kroni.