Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Aktivis sejarah dakwa nama polis silap pada tugu, gesa UUM betulkan

Aktivis sejarah Mohd Azlan Mohd Sharif berkata terdapat kesilapan pada nama seorang anggota polis yang diabadikan pada Tugu Peringatan Sintok di Universiti Utara Malaysia di Kedah.

Menurut Mohd Azlan yang merupakan ahli seumur hidup Persatuan Sejarah Malaysia, nama Allahyarham Mohd Nor Tumin ditulis sebagai “Mohd Nordin Tumin” pada tugu itu, dan UUM perlu memperbetulkan kesilapan itu.

Difahamkan Allahyarham antara lapan anggota polis hutan yang terbunuh dalam satu serangan hendap Komunis pada 1975 di kawasan sekitar Bukit Kayu Hitam di sempadan Malaysia-Thailand. Allahyarham dikebumikan di Senggarang, Batu Pahat dan meninggalkan seorang balu.

Mohd Azlan berkata dia sebelum ini tidak tahu berkenaan kewujudan tugu itu walaupun ada membuat pembentangan berkenaan perjuangan anggota polis hutan melawan Komunis dalam satu webinar dalam talian kira-kira dua bulan lalu.

“Saya dapat tahu berkenaan kesilapan nama Allahyarham wira polis tersebut pada tugu Peringatan Sintok daripada Haji Jasman, adik ipar kepada allahyarham Mohd Nor Tumin.

“Gambar tugu tersebut dikongsi kepada saya dan saya terkejut melihat kesilapan nama, iaitu "46768 Mohd Nordin Tumin" yang sepatutnya ditulis "46768 Mohd Nor Bin Tumin", katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Allahyarham Mohd Nor Tumin

Tugu peringatan Sintok dirasmikan pada 1992 oleh Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah yang merupakan Sultan Kedah pada masa itu, bagi mengenang kepahlawanan dan perjuangan perwira yang terkorban semasa mempertahankan negara.

“Sudah 32 tahun sejak tugu peringatan dirasmikan, adakah ketika itu (pihak bertanggungjawab) terlepas pandang kesilapan nama itu?” soalnya.

Sementara itu, Mohd Azlan juga mendakwa dia telah berjaya menemui rakan setugas Allahyarham bernama Sarjan Mejar (B) Rosali Salim yang menurutnya merupakan saksi hidup peristiwa 18 Jun 1975.

Rosali Salim

Justeru, dia berharap UUM dapat berhubung dengannya dan membuat kajian berkenaan peristiwa itu yang menyebabkan Tugu Peringatan Sintok dibina.

“Sijil kematian arwah hilang, tetapi jelas di kubur tersebut. Pihak UUM dan Muzium PDRM boleh berjumpa saksi pada kejadian tersebut.

“Saya memohon UUM membuat kajian terperinci berkenaan semua anggota polis yang terkorban termasuk kubur, papan tanda sejarah, serta tentang kebajikan balu dan keluarga,” katanya lagi.

Ketika dihubungi Malaysiakini, UUM berkata pihaknya akan meneliti dan membuat semakan lanjut berkenaan perkara itu.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS