Bekas pembantu penyelidik Muhammed Yusoff Rawther memfailkan saman pemula bagi memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya 1952 sebagai tidak berperlembagaan, menurut peguamnya Rafique Rashid Ali.
Rafique berkata Yusoff, yang didakwa di bawah Seksyen 39B akta itu, kini di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.
“Umum sedia maklum tiada jaminan bagi kes-kes pengedaran dadah kerana ia dihalang oleh Seksyen 41B akta yang sama.
“Ini menimbulkan ketidakadilan, dalam keadaan-keadaan tertentu, terutama apabila seseorang tertuduh itu mempunyai pembelaan bermerit atau keadaan-keadaan khas yang memerlukan jaminan,” kata Rafique dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata hari ini anak guamnya menerima salinan termeterai dokumen yang difailkan, termasuk saman pemula bertarikh 27 September dan afidavit sokongan.
“Melalui saman pemula ini, Yusoff memohon suatu perintah bahawa Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya adalah tidak berperlembagaan kerana ia mengehadkan kuasa mahkamah yang sedia ada dalam mempertimbang atau memberikan jaminan.
“Saman pemula ini juga bertujuan mengemukakan kepada mahkamah keadaan-keadaan khas yang dialami atau berkaitan Yusoff yang memerlukan jaminan dipertimbang,” katanya lagi.
Katanya lagi, mahkamah menetapkan 23 Oktober ini untuk pengurusan kes.
Yusoff, yang sebelum ini mengemukakan saman terhadap Anwar atas dakwaan serangan seksual, ditahan pada 6 September lalu atas dakwaan memiliki senjata api dan dadah namun hanya dihadapkan dengan pertuduhan mengedar 305 gram ganja.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga seumur hidup dan dikenakan 12 sebatan.