Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peruntukan RM20 juta beli pam air telah lama diluluskan - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pembelian 20 unit pam air di Kelantan yang diumumkan pada Mei lepas telah lama diluluskan.

Beliau berkata pelaksanaan projek itu tertangguh ekoran beberapa masalah termasuk soal kelulusan daripada kerajaan negeri untuk membina laluan tanah bagi kegunaan pam baharu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata projek itu turut mengambil masa yang lama kerana pam air sedia ada tidak mencecah ke permukaan untuk membawa keluar bekalan ke kawasan sawah.

“Saya telah berbincang dengan kerajaan negeri dan mereka bersetuju untuk meluluskan laluan tanah. Saya berharap perkara ini dapat disegerakan memandangkan ia akan digunakan untuk kawasan sawah dan kebun sayur,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama peniaga di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu yang turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata isu melibatkan peruntukan bagi pembelian pam air dianggap selesai kerana kerajaan negeri juga telah menyatakan kelulusan pada 18 Sept lepas untuk laluan tanah.

“Saya percaya kementerian dan pihak berkaitan dapat menyegerakan pelaksanaan projek ini untuk kegunaan rakyat Kelantan khususnya bagi sektor pertanian di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, Persatuan Pesawah-Pesawah Kelantan menuntut janji peruntukan RM20 juta oleh Perdana Menteri dipercepat bagi membantu menyelesaikan masalah pengairan di kawasan sawah membabitkan lebih 7,000 petani di negeri itu.

Pengerusinya, Zuha Ismail berkata peruntukan itu yang diumum pada Mei lepas perlu diselesaikan sebelum musim kedua penanaman padi bermula pada Oktober ini.

Sementara itu, Anwar turut meluangkan masa meninjau pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Chicha Fasa 2 dan Sistem Agihan di Sekolah Kebangsaan Pasir Hor.

Semasa lawatan kira-kira 15 minit yang disertai Nik Nazmi itu, Perdana Menteri diberikan taklimat berkaitan perkembangan pembinaan loji berkenaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad Zulkiflee Omar.

Beliau turut diberikan maklumat mengenai perkembangan projek LRA Bukit Chupak dan LRA Tanjung Mas serta penggantian paip lama atau uzur di Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS