Peguam bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin dan isterinya Na'imah Abdul Khalid meminta pasukan petugas melibatkan pelbagai agensi ditubuhkan untuk menyiasat laporan Bloomberg baru-baru ini.
Peguam Rajesh Nagarajan berkata siasatan itu juga boleh melibatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang dinamakan dalam laporan berkenaan.
“Bolehkah seorang Inspektor menyoal perdana menteri? Ia sangat tidak mungkin.
“Kami mahu pasukan petugas pelbagai agensi diwujudkan, untuk menyiasat laporan ini. Sama seperti yang berlaku sebelum ini dengan skandal 1MDB.
“Bank Negara Malaysia menubuhkan pasukan petugas pelbagai agensi untuk menyiasat (1MDB), ketika Najib menjadi PM. Kalau BNM boleh buat pada 2015, saya pasti PDRM boleh buat pada 2024,” katanya.
Rajesh berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini
Terdahulu, Na'imah memberikan keterangan kira-kira dua jam susulan laporan polis yang dibuatnya semalam.
Dia mendakwa laporan Bloomberg menunjukkan Anwar menyalahgunakan kuasa dalam melakukan pendakwaan jenayah terhadapnya dan suami.
Polis akan soal Anwar?
Na'imah berkata dia ditanya sekitar 20 soalan mengenai laporan polis yang dibuatnya selain diberitahu polis juga akan mengambil keterangan Daim.
Ditanya sama ada perdana menteri akan disoal siasat, Na'imah berkata, “Saya ada bertanya kepada mereka (polis), selepas saya, Daim, bila polis akan merekodkan kenyataan daripada Anwar Ibrahim?
"Mereka beritahu saya bahawa mereka sedang menunggu arahan," katanya.
Artikel Bloomberg yang memetik sumber tanpa nama mendakwa Anwar telah mengarahkan agensi itu menyiasat Daim dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad serta anak-anaknya.
Artikel pada 26 Sept itu juga memetik sumber yang tidak dinamakan yang mendakwa bahawa pada Mac, ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengarahkan pegawainya untuk tidak menyiasat isu pembelian saham oleh bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang didakwa atas arahan perdana menteri.
Susulan itu Pejabat Perdana Menteri (MPO) dan juga SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Daim, 85, dan Na'imah, 66, berdepan pertuduhan di mahkamah kerana didakwa gagal mematuhi notis SPRM agar pasangan itu mengisytiharkan harta mereka.