Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NUTP: Dakwaan guru ramai palsukan MC tak bertanggungjawab
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 5:44 PM
Dikemaskini: 9:44 AM

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menyifatkan dakwaan golongan pendidik sebagai golongan penjawat awam paling ramai terlibat memalsukan cuti sakit (MC) sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata dakwaan dibuat Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu secara langsung mempertikaikan profesionalisme 450,000 guru di negara ini.

Katanya kenyataan sebegitu mesti disertakan dengan data sahih dan bukti kukuh.

Pada masa sama Fouzi berkata, kira-kira 450,000 guru di negara ini menjalankan tugas masing-masing dengan profesional dan cemerlang untuk mendidik anak bangsa.

"Dakwaan tersebut juag secara tidak langsung mempertikaikan tahap profesionalisme dan etika kerja pegawai perubatan (doktor) kita yang komited menjalankan tanggungjawab kepada rakyat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam terdapat media yang memetik Cuepacs sebagai berkata, guru adalah kakitangan awam paling ramai didapat terlibat memalsukan MC.

Tindakan itu, dakwa Cuepacs, dibuat pihak terbabit selepas mereka gagal mendapat MC sebenar daripada doktor di sesebuah hospital atau klinik.

Cuepacs juga mendakwa ramai guru sengaja mengemukakan permohonan cuti kecemasan untuk kepentingan tertentu.

Menurut kesatuan itu, setiap tahun kira-kira 1 peratus hingga 2 peratus daripada 10,000 penjawat awam dikenal pasti memberi cuti palsu selain sengaja menggunakan EL semata-mata mahu melanjutkan tempoh bercuti.

“Selalunya selepas cuti panjang akan ada penjawat awam yang bagi cuti sakit palsu terma­suk memohon cuti kecemasan. Kes ini lebih ramai berlaku dalam kalangan guru.

“Mereka ini (guru) tidak ba­nyak cuti tahunan seperti mana yang diterima oleh penjawat awam lain, sebaliknya mereka banyak bergantung kepada cuti persekolahan.

“Jadi ada yang tidak bertanggungjawab sehingga beri cuti sakit palsu semata-mata mahu sambung percutian,” kata kesatuan itu yang dipetik Kosmo!.

Menurut Fouzi, Perintah Am 15 Bab C menyatakan seseorang ketua jabatan boleh menggunakan budi bicaranya untuk menerima MC yang dikeluarkan oleh doktor swasta bagi tujuan meluluskan cuti sakit.

Katanya peraturan berkaitan penerimaan MC swasta diperjelaskan melalui pekeliling perkhidmatan iaitu melalui surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 18 Feb 2022.

Melalui surat itu, katanya, kerajaan membuat penambahbaikan peraturan pengesahan sijil sakit swasta yang melebihi 15 hari bagi rawatan pesakit luar oleh pegawai perubatan kerajaan.

"Walau bagaimanapun, sekiranya didapati benar ada guru yang mengambil MC palsu, sila ambil tindakan berdasarkan undang-undang, peraturan atau seksyen yang sedia ada," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS