Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kadar keluar mengundi Cina di Mahkota tak serendah didakwa'
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 3:53 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Peratusan pengundi Cina yang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Mahkota tidak serendah 35 peratus seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Dia juga menolak tanggapan bahawa DAP dan Pakatan Harapan gagal mencapai kadar sasaran pengundi Cina semasa PRK itu.

Liew memetik Institut Darul Ehsan Selangor, yang menganggarkan peratusan keluar mengundi Cina sebanyak 49 peratus.

Dia juga menganalisis pengundian di daerah mengundi Bandar Tengah, yang mempunyai 81 peratus penduduk kaum Cina.

Di sana, purata peratusan keluar mengundi ialah 49 peratus, dengan 90 peratus undi di daerah itu kepada BN.

“Oleh itu, mengikut semua ukuran peratusan keluar mengundi etnik Cina lebih hampir kepada 50 peratus dan bukannya 35 peratus seperti didakwa sesetengah pihak.

“Lebih penting, hampir semua penyokong teras PH, tanpa mengira etnik, memberikan sokongan penuh kepada BN pada PRK ini,” kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.

Liew juga menyatakan bagaimana lapan daerah mengundi yang sebelum ini dimenangi oleh PHa secara besar-besaran pada pilihan raya negeri Johor 2022 turut dimenangi BN semasa PRK Mahkota, yang menurutnya adalah bukti kebolehpindahan undi antara PH dan BN.

Walaupun tidak memetik sebarang nama, Liew dipercayai mengulas kritikan daripada pemimpin BN.

Ketua BN Johor, Nur Jazlan Mohamad mendakwa peratusan keluar mengundi kaum Cina ialah 34 peratus.

Sementara itu, dalam laporan Straits Time yang meletakkan peratusan keluar mengundi Cina pada 34 hingga 36 peratus, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros mendakwa DAP gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kadar sehingga 55 peratus.

Liew bagaimanapun mendakwa bahawa Noor Azleen telah salah faham dengan unjuran DAP.

Dia berkata, PH yakin dengan kempen tanpa henti, mereka boleh memperoleh peratusan keluar mengundi Cina sekitar 50 peratus.

"Saya juga memberi amaran kepada mereka yang menginginkan kehadiran etnik Cina yang lebih tinggi bahawa walaupun dalam situasi paling ideal, angka itu tidak akan melebihi 55 peratus," katanya.

“Kami dapat meyakinkan pengundi bahawa undi untuk Syed Hussien adalah undi untuk kepimpinan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi, serta undi untuk Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” tambahnya.

Sementara itu, Liew berkata tinjauan aliran pengundian di semua daerah menunjukkan bahawa dua atau tiga aliran terakhir cenderung mempunyai peratusan keluar mengundi yang lebih rendah.

Dia berkata ini kerana kebanyakan pengundi muda Kluang bekerja di luar bandar, terutamanya di Singapura dan Kuala Lumpur.

"Kesedaran di kalangan pengundi muda tidak mencukupi- saya berjumpa dengan beberapa pengundi muda yang layak mengundi (melalui pendaftaran automatik) tetapi tidak sedar," katanya.

Jumlah keluar mengundi memainkan peranan utama dalam keputusan pilihan raya.

Pada pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022, peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi bukan Melayu - yang merupakan pangkalan sokongan PH - membolehkan BN memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN.

Bagaimanapun, apabila peratusan keluar mengundi lebih tinggi semasa PRU ke-15 pada November 2022, BN hanya berjaya memenangi 9 daripada 25 kerusi Parlimen di Johor, manakala PH - dan sekutunya Muda ketika itu - memperoleh 14 kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS