Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Najib: Hakim tanya perbezaan belanja peribadi, politik

Hakim perbicaraan kes Najib Razak berkaitan 1MDB hari ini mengajukan soalan kepada pasukan pembelaan mengenai perbezaan antara perbelanjaan yang dilakukan oleh bekas perdana menteri itu untuk tujuan peribadi dan politik.

Collin Lawrence Sequerah mengemukakan soalan tersebut kepada Muhammad Shafee Abdullah semasa peguam utama Najib itu mengemukakan hujah pada akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Sequerah: Adakah terdapat sebarang perbezaan antara perbelanjaan untuk tujuan politik dan peribadi?

Muhammad Shafee: Kami telah membuktikan bahawa 99 peratus daripada wang dalam akaunnya tidak digunakan untuk tujuan peribadi. Sebagai contoh, beliau tidak membeli pesawat peribadi atau membelanja semua orang dengan champagne di bar New York, atau perkara seperti itu.

"Yang Arif, saya terpaksa menggunakan istilah ini: ia bertentangan dengan patologi rasuah jika seseorang mengambil wang ini dan membelanjakannya bukan untuk kegunaan peribadi, tetapi untuk manfaat orang ramai, walaupun beliau mungkin merupakan sebahagian daripada orang ramai.”

Peguam itu menambah Najib telah menggunakan dana RM300 juta yang berasal dari 1MDB untuk PRU 2013.

Sequerah kemudian menyoal peguam veteran terbabit sama ada terdapat undang-undang dari kes terdahulu yang menyokong hujahnya.

Sebagai respons, Muhammad Shafee menjawab "ia adalah inferens fakta" dan tiada kes duluan seperti kes 1MDB Najib.

Apabila hakim meminta komen daripada pihak pendakwaan mengenai perkara tersebut, Kamal Bahrin Omar selaku timbalan pendakwa raya berkata, mereka hanya mengambil kira fakta bahawa wang yang didakwa, yang masuk ke akaun Najib, adalah hasil daripada aktiviti haram.

Seorang lagi timbalan pendakwa raya, Ahmad Akram Gharib, menambah tidak menjadi masalah sama ada Najib menggunakan wang yang didakwa itu untuk tujuan peribadi atau politik.

"Undang-undang menyatakan bahawa ia adalah untuk kepentingannya," kata Ahmad Akram.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Dia turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 dan melibatkan transaksi di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.

Perbicaraan bersambung.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS