Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga Beng Hock: PM, jangan buat kami tertunggu-tunggu
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 3:25 PM
Dikemaskini: 7:25 AM

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji agar pihak berkuasa menyiasat semula kes kematian pembantu politik itu.

Mereka mengingatkan dua bulan telah berlalu sejak pertemuan dengan perdana menteri pada 1 Ogos lalu.

"Perdana Menteri berjanji untuk berbincang dengan Ketua Polis Negara dan Peguam Negara mengenai cara membuka semula kes itu, tetapi setakat ini kami belum melihat sebarang tindakan daripada pihak polis.

"Perdana Menteri mengatakan bahawa siasatan polis juga akan mengkaji permintaan keluarga Teoh dan merujuk kepada penghakiman Mahkamah Rayuan.

"Setakat ini, kami belum melihat polis menyiasat secara menyeluruh pegawai-pegawai SPRM yang menyoal siasat Teoh Beng Hock berdasarkan kesimpulan Mahkamah Rayuan bahawa 'kematian Teoh Beng Hock disebabkan oleh tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau lebih individu yang tidak dikenali'," kata keluarga itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu keluarga Beng Hock turut meminta siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan bukannya di bawah Seksyen 342.

Anwar pada 1 Ogos lalu berkata kerajaan bersetuju supaya pihak polis membuka semula kertas siasatan berkait kes kematian Beng Hock dan memberi jaminan ia akan dilaksanakan secara telus dan adil tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Jaminan itu diberikan selepas pertemuan dengan keluarga mendiang.

Beng Hock yang merupakan pembantu politik kepada Adun Seri Kembangan dari DAP, Ean Yong Hian Wah, meninggal dunia pada 16 Julai 2009 pada usia 30 tahun.

Mayatnya ditemui di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat sepanjang malam di tingkat 14 ibu pejabat SPRM Selangor.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan mendapati kematian Beng Hock disebabkan oleh satu atau beberapa individu yang tidak dikenali termasuk pegawai SPRM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS