Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sirajuddin kini Ketua Pengarah Jakim
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 3:24 PM
Dikemaskini: 7:24 AM

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Sirajuddin Suhaimee dilantik sebagai ketua pengarah baru agensi itu berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan berkata pelantikan Sirajuddin, 57, merupakan satu daripada usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam seiring dengan agenda reformasi perkhidmatan awam dan memperkukuhkan Jakim sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di Malaysia.

Katanya Sirajuddin yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pengarah (Dakwah) di Jabatan Agama Islam Selangor pada 2 Jan 1992.

Dia yang juga lulusan ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Mara dan doktor falsafah sains komputer dari University of South Australia itu pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jakim.

Sirajuddin turut berpengalaman sebagai pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jakim serta Setiausaha Pertama (Halal) di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia.

Shamsul Azri turut mengumumkan ketua pengarah Jakim sebelum ini, Hakimah Mohd Yusoff, dilantik sebagai penyelaras hal ehwal agama yang melibatkan koordinasi di antara Jakim, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) berkuat kuasa hari ini.

Menurutnya pelantikan Hakimah itu - yang pernah melakar sejarah sebagai wanita pertama menjadi Ketua Pengarah Jakim - bertujuan untuk memangkin pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia.

“Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu Jakim ke arah mengangkat kemuliaan agama Islam dan memartabatkan Jakim sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat persekutuan yang komprehensif serta berdaya saing di persada global,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS