Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan digesa henti siasatan terhadap 7 peserta demo anti-AS
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 2:40 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Sebanyak 19 organisasi yang terdiri daripada parti politik, NGO, badan hak asasi manusia dan persatuan wartawan menggesa kerajaan segera menghentikan siasatan terhadap tujuh peserta demonstrasi yang ditahan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) semalam.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka melahirkan rasa kecewa terhadap penggunaan berterusan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) bagi melanggar prinsip teras demokrasi dan kebebasan awam.

"Kami amat bimbang dengan tindakan pihak berkuasa menahan peserta demonstrasi aman, yang memburukkan lagi kebimbangan sedia ada mengenai keadaan kebebasan bersuara dan berhimpun yang semakin merosot di bawah Kerajaan Madani.

“Penangkapan peserta demonstrasi ini kerana menyuarakan pendirian mereka mengenai isu kebimbangan antarabangsa - kekejaman yang berterusan di Gaza dan Lubnan - menghantar mesej yang membimbangkan mengenai keadaan kebebasan bersuara dan hak untuk membantah di Malaysia.

"Penahanan individu-individu ini kerana membantah secara aman terhadap pembunuhan beramai-ramai menunjukkan satu trend yang membimbangkan ke arah penindasan perbezaan pendapat.

"Kami menggesa kerajaan untuk segera menghentikan siasatan terhadap tujuh peserta demonstari aman tersebut dan menguatkuasakan PAA secara telus sepenuhnya," menurut kenyataan itu.

Antara pertubuhan yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Centre for Independent Journalism, Amnesty International Malaysia (AIM), Aliran, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Mereka turut mendesak Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, untuk mempertahankan hak orang ramai dan memastikan semua rakyat Malaysia boleh menggunakan hak kebebasan mereka tanpa rasa takut terhadap penindasan.

Terdahulu semalam, polis menahan tujuh peserta demonstrasi pro-Palestin yang berkumpul berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Mereka disoal siasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju sebelum dibebaskan sekitar jam 1.30 tengah hari.

Sementara itu, 19 organisasi itu turut menyuarakan kegusaran mengenai penguatkuasaan PAA secara selektif kerana ia bertentangan dengan prinsip asas PAA itu sendiri, iaitu untuk menegakkan kebebasan berhimpun, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 2(a) akta itu.

"Sebaliknya, ia diperalatkan dan digunakan secara meluas untuk menindas hak kebebasan berhimpun,” tambahnya.

Mereka mengeaskan hak untuk berhimpun dan menyatakan perbezaan pendapat bukan sahaja dilindungi di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tetapi juga hak asasi manusia yang termaktub dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Perkara 21 Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik.

“Sebarang sekatan undang-undang terhadap hak asasi manusia, seperti kebebasan bersuara, mestilah berlandaskan standard antarabangsa - seperti yang diiktiraf di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa - mengenai kesahihan, keperluan dan keseimbangan,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS