Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | PM cadang kenyangkan kroni dengan penswastaan pendidikan?

Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa akan meneliti pengagihan subsidi pendidikan kepada rakyat negara ini.

Ayat manis seperti anak orang kaya tidak lagi akan menikmati subsidi adalah juga bermaksud pendidikan negara ini bakal diswastakan untuk mengenyangkan kroni atas nama penyelarasan subsidi.

Kenyataan PMX yang berbunyi “pada masa ini peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan turut banyak dinikmati golongan elit dan maha kaya” adalah berniat jahat dan memesongkan fakta. 


Baca: Golongan kaya mungkin tak lagi dapat subsidi pendidikan


Rata-rata pendidikan Malaysia sehingga sekolah menengah dan kebanyakan kursus vokasional kerajaan adalah percuma dan dinikmati oleh semua anak Malaysia.

Penswastaan pendidikan negara kita dimulakan oleh Mahathir Mohamad (mentor politik PMX) sejak tahun 1990-an lagi dengan penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta memberi lesen kepada pihak swasta untuk membuka ratusan kolej.

Kumpulan elit kaya dan ahli politik telah membuka kolej swasta untuk mengaut keuntungan yang diperoleh daripada dana PTPTN. 

Mungkin PMX sudah lupa bahawa parti politiknya sendiri pada satu ketika dahulu menyeru untuk pendidikan percuma dan membantah penswastaan pendidikan sebegini.

Malangnya pada hari ini, retorik kotor seperti “sistem sekarang dinikmati oleh orang kaya dan kita perlu membantu orang miskin” dipermainkan sendiri oleh PMX demi  kelangsungan politiknya. 

PMX menyeru bahawa golongan yang kaya atau benar-benar berkemampuan itu wajar menghantar anak mereka masing-masing belajar dengan perbelanjaan sendiri. 

Apakah maksud menanggung perbelanjaan sendiri? 

Apakah maksud hasil (daripada penjimatan subsidi) akan digunakan untuk bantuan tambahan kepada rakyat yang miskin?

Persoalan yang ingin dibangkitkan oleh PSM ialah:

1.      Adakah  kerajaan akan mengenakan yuran khas yang tinggi kepada anak golongan kaya di universiti/kolej kerajaan? Atau adakah anak-anak orang kaya akan dihalang daripada memasuki sistem pendidikan awam?

2.      Adakah pihak swasta akan dibenarkan untuk membuka lebih banyak kolej pendidikan tinggi demi menampung keperluan pendidikan yang golongan maha kaya?

3.      Adakah anak-anak miskin kita akan diberi pendidikan percuma di universiti/kolej kerajaan hasil daripada penjimatan ini?

4.      Adakah Kerajaan Perpaduan bercadang untuk membina lebih banyak universiti awam/kolej universiti awam yang kekal pada angka 20 buah sahaja sejak bertahun-tahun lamanya? Sedangkan kita ada 48 buah universiti swasta dan 345 buah kolej universiti swasta berdaftar di seluruh Malaysia.

5.      Bukankah kemasukan ke dalam pendidikan kerajaan adalah berdasarkan sistem kuota dan meritrokasi? Sejak bila kita memberi tempat pendidikan mengikut status sosioekonomi seseorang? Apakah data yang digunakan oleh PMX untuk memberi kenyataan bahawa orang maha kaya sedang menikmati kebanyakan subsidi pendidikan negara?

6.      Adakah kerajaan PMX bercadang untuk mengkhianati manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15 mengenai pendidikan, yang antara lain menyatakan bahawa “PH menjanjikan pengampunan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disasarkan kepada pelajar dari isi rumah B40? Jadual pembayaran balik juga akan diselaraskan berdasarkan pendapatan graduan baharu bermula daripada RM4,000 dengan peratusan meningkat berdasarkan gaji? Ataupun akan teruskan dengan mendakwa bekas peminjam-peminjam PTPTN dan mengulangi kata-kata sifu PMX yang berbunyi “manifesto bukan kitab suci”?

‘Pesong fakta’

Anwar, jangan memesongkan fakta demi menghalalkan niat Kerajaan Perpaduan untuk menswastakan sistem pendidikan negara. 

Sistem pendidikan kita sudah pun dihancurkan demi memuaskan perut golongan maha kaya serta boneka mereka dalam kerajaan. 

Kecelaruan dan pemesongan dasar pendidikan negara telah memangsakan ribuan anak muda kita yang terjerumus dalam perangkap beban pinjaman dan pada masa yang sama tidak mendapat pekerjaan yang setimpal dengan pendidikan mereka. 

Bukankah menteri kkonomi kamu sendiri mengakui bahawa gaji graduan kita tidak banyak berbeza dengan gaji minimum pekerja swasta tidak mahir?

Jadi, kenyataan PMX hari ini adalah amat mengelirukan, memesong tuntutan rakyat dan berniat untuk membuka ruang pelaburan dalam sistem pendidikan kepada  kroni yang hendak mencari keuntungan.

Seruan Parti Sosialis Malaysia (PSM) kepada Kerajaan Perpaduan ialah:

a)      Pendidikan itu adalah hak rakyat dan bukan keistimewaan. Pendidikan harus diberikan secara percuma sehingga peringkat ijazah sarjana muda kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan status sosioekonomi.

b)      Bina lebih banyak universiti/kolej awam. Kita mempunyai peruntukan yang mencukupi tetapi malangnya niat untuk memperkasakan pendidikan awam tidak wujud.

c)       Moratorium ke atas pembinaan universiti/kolej swasta. Jangan beri lesen untuk mewujudkan kolej swasta baharu.

d)      Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak harus terlibat dengan pendidikan swasta. Kerajaan juga harus mengambil alih institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dimiliki oleh GLC dan menjadikannya sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

e)      Ahli politik/kakitangan kerajaan yang berpencen tidak harus memiliki atau menjadi pengarah kepada kolej/universiti swasta. 

Pendidikan ialah hak sejagat. Jangan niagakan pendidikan!


KARTHIGES RAJAMANICKAM ialah anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS