Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan perkenal Dasar Pengkomputeran Awan Negara
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 12:55 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memperkenalkan Dasar Pengkomputeran Awan Negara yang memberi penekanan terhadap empat teras utama.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata teras berkenaan ialah inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam; daya saing dan pertumbuhan ekonomi; memacu pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan mengukuhkan kepercayaan pengguna serta keselamatan data dan pemerkasaan rakyat melalui keterangkuman digital.

Menurutnya teras pertama membabitkan usaha kerajaan Madani meningkatkan aspek inovasi dan kecekapan perkhidmatan awam, manakala pemanfaatan teknologi awan membolehkan kerajaan menyasarkan pemodenan operasi, memupuk penglibatan rakyat serta menyelaras penyampaian perkhidmatan awam.

“Kedua, kita juga mahu menggalakkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan pengembangan ekonomi dengan membolehkan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana, serta syarikat pemula niaga memanfaatkan teknologi awan untuk inovasi, kecekapan operasi dan akses ke pasaran global," katanya.

Perdana menteri berkata demikian merasmikan majlis pecah tanah pembinaan pusat data dan wilayah awan pertama Google di Malaysia yang merangkumi pelaburan bernilai AS$2 bilion.

Menjelaskan selanjutnya, Anwar berkata aspek ketiga menyentuh komitmen kerajaan untuk mengukuhkan lagi kepercayaan pengguna dan keselamatan data, termasuk mewujudkan rangka kerja dan protokol keselamatan yang teguh demi melindungi data sensitif serta infrastruktur kritikal dalam persekitaran awan awam dan swasta.

"Bagi teras keempat, kita akan memperkasa rakyat melalui keterangkuman digital.

“Pendekatan kita akan berasaskan rakyat serta inklusif, menggunakan teknologi awan untuk meningkatkan akses serta kecekapan perkhidmatan awam yang mengutamakan digital," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS