Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya bukan hero' - Akmal kongsi artikel dirinya dilabel wira BN
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 12:47 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, yang sering mendapat perhatian susulan kenyataan kontroversinya menegaskan bahawa dia tidak pernah bercita-cita menjadi hero.

“Saya bukan hero dan tidak mahu langsung menjadi hero,tetapi saya hanya berpegang pada prinsip asal Umno yang tidak pernah berubah iaitu menjaga agama,bangsa dan tanah air," katanya dalam catatan Facebook.

Semalam, Malaysiakini memetik ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi sebagai berkata Akmal keliru antara kepahlawanan dan sikap pembuli.

Menariknya, Akmal dalam catatannya bertajuk "Fakta dan kebenaran mungkin boleh disorokkan tetapi ia tidak boleh menipu" berkongsi analisis mengenai pilihan raya kecil (PRK) Mahkota yang menobatkannya sebagai "wira" di sebalik kejayaan BN.

Artikel yang menyebut pertelingkahan pemimpin Pemuda Umno itu dengan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, menyatakan walaupun DAP gagal menggerakkan pengundi Cina, calon BN itu masih berjaya memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti besar 20,648 undi.

Ia juga memuji MCA kerana meyakinkan 3,987 ahlinya di kawasan itu untuk membuang undi dengan kempen agresifnya.

“Sebahagian besar undi BN datangnya daripada pengundi Melayu yang kembali menyokong BN disebabkan faktor-faktor tertentu," tambah laporan itu.

Selain kerajaan campuran memastikan kestabilan politik dan memulihkan ekonomi, artikel itu mendakwa faktor lain yang menarik sokongan orang Melayu ialah keberanian Umno menghadapi DAP.

"Ini menunjukkan Umno masih mempunyai jati diri, walaupun dalam Kerajaan Perpaduan, ia masih berani mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam apabila dicabar.

"Dalam konteks ini, kita boleh beranggap wira di sebalik kejayaan BN ialah Akmal melalui tindakannya yang tidak gentar berhadapan dengan DAP, walaupun berada dalam satu kerjasama politik,” tambahnya.

Artikel itu juga mencadangkan agar DAP mengkaji semula kerelevanan dan pendiriannya dalam isu semasa selepas PRK Mahkota.

“Keputusan PRK Mahkota ini juga dikatakan mencerminkan pengaruh DAP semakin berkurangan, yang boleh memberi kesan kepada pilihan raya akan datang di kawasan-kawasan seumpamanya.

"Pada masa yang sama, kemenangan hatrik BN di Pelangai, Nenggiri, dan Mahkota ini dijangka akan memberikan impak besar kepada politik Malaysia, merangsang semangat BN untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Johor dengan lebih yakin.

"Sebagai kesimpulannya, peranan pemimpin seperti Akmal dalam Umno tidak boleh dipandang remeh. Sebagai Ketua Pemuda Umno, beliau bersama jenteranya berjaya meningkatkan imej Umno dalam kalangan pengundi Melayu.

"Oleh itu, Akmal perlu diberikan sokongan penuh oleh Umno, termasuk dalam menghadapi saman Teresa dan diberikan ruang yang lebih luas untuk memainkan peranan dalam politik Malaysia," jelas artikel itu lagi.

Kok telah memulakan tindakan undang-undang terhadap ketua Pemuda Umno itu selepas dia mengecamnya berhubung isu pensijilan halal, di mana dia menggelarnya sebagai "nyonya tua" dan mencadangkan "melekatkan logo tidak halal di dahinya".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS