Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalah di Mahkota tak buat PAS meroyan, kata Fadhli
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 12:40 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

PAS bingkas memberikan reaksi selepas seorang pemimpin Umno menganggap mereka berada dalam penafian kerana gagal memenangkan PN di Mahkota minggu lalu.

Menurut Ahmad Fadhli Shaari, PAS tidak "meroyan" apabila kalah dalam sesuatu pilihan raya sebaliknya membuat kajian dan proses pascanilai bagi mencari kelemahan yang ada.

Dapatan daripada proses tersebut, katanya, tidak diuar-uarkan kepada umum atau media massa.

"Samalah ketika Umno tewas tahun lepas di PRK Kemaman dengan majoriti 37,220 undi.

"Kami tidaklah meroyan untuk menagih komen daripada Umno supaya membuat ulasan kenapa seorang bekas Panglima Angkatan Tentera boleh kalah di medan pilihan raya dengan majoriti teramat besar!" katanya melalui media sosial tengah hari ini.

Mengiringi hantaran tersebut ialah laporan berita disiarkan Malaysiakini hari ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata demikian selepas Mohd Puad Zarkashi mendakwa parti pembangkang terbabit berada dalam penafian ekoran kekalahan di Mahkota pada Sabtu lalu.

Memetik sikap ditunjukkan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang berlapang dada serta Presiden Gerakan Dominic Lau yang menunjukkan kebimbangan terhadap pola pengundian orang Melayu, PAS mengambil sikap berbeza.

Jet lag sampai seminggu

Kata Mohd Puad, para pemimpin PAS berdiam diri manakala portal rasmi parti itu menganggap keputusan PRK Mahkota tidak akan memberi kesan kepada PN di peringkat nasional.

"PAS ada sindrom denial (penafian). Mungkin PAS yakin tidak ada kesan pada parti itu. Kesan buruk hanya pada Bersatu, walhal PAS kalah teruk di PR Nenggiri," kata ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu hari ini.

PN gagal dalam cubaannya menawan kerusi DUN Mahkota di Johor dalam PRK yang diadakan pada 28 Sept lalu. Calon parti itu Mohamad Haizan Jaafar sekadar mengumpul 7,332 undi berbanding Syed Hussein Syed Abdullah (BN) yang mendapat 27,941 undi.

Pada 2 Dis 2023, calon PAS-PN mempertahankan kerusi parlimen Kemaman apabila Ahmad Samsuri Mokhtar mengalahkan calon Umno-BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan perbezaan 37,220 undi.

Mohd Puad Zarkashi

Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS itu memperoleh 64,998 undi berbanding Raja Mohamed Affandi 27,778 undi.

PRK Nenggiri di Kelantan menyaksikan perubahan daripada status quo apabila Umno-BN merampas kerusi yang sebelum ini dimenangi Bersatu-PN.

Calon parti kerajaan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mengalahkan Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti 3,372 undi.

Bagaimanapun bagi setiap kerusi berkenaan mempunyai jumlah pengundi yang berbeza.

Ahmad Fadhli berkata sikap yang ditunjukkan Mohd Puad hari ini mungkin kesan daripada perjalanan jauh yang dilaluinya selepas menghadiri lawatan sambil belajar di sebuah pusat perkaderan ahli Parti Komunis China di Beijing minggu lalu.

Katanya memang biasa seseorang yang menaiki kapal terbang untuk tempoh lama akan mengalami gangguan ritma harian (jet lag).

"Tapi biasanya orang jet lag sehari dua sahaja. Jika sampai seminggu masih jet lag nampaknya kesan pembelajaran di sekolah perkaderan ideologi komunis tu benar-benar berkesan," sindir Ahmad Fadhli.

Dia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, PN dan PAS mempunyai kaedah sendiri untuk bermuhasabah, dan mereka percaya kepada proses dalaman parti.

"Jika Datuk (Mohd Puad) mahukan komen ekoran PRK Mahkota, saya berikan komen: tahniah.

"Ia sepertimana tahniah ketika Umno menang besar PRN Melaka dan Johor, dan kemudiannya gagal mengulangi kemenangan besar itu dalam PRU," sindirnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS