Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkota: Muhyiddin, Lau bimbang tapi PAS dalam penafian - Puad
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 11:10 AM
Dikemaskini: 4:04 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menyifatkan PAS dalam penafian mengenai kemerosotan Perikatan Nasional (PN) berikutan kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.

Puad menyorot Pengerusi PN yang juga presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang berkata pihaknya "berlapang dada dan ambil langkah segera baiki prestasi parti" selain komen Presiden Gerakan Dominic Lau yang bimbang pengaliran balik undi Melayu kepada BN.

"Pemimpin PAS pula berdiam diri. Akhbar rasmi PAS Harakahdaily berkata, Mahkota tidak beri kesan negatif pada PN di peringkat nasional.

"PAS ada sindrom denial (penafian). Mungkin PAS yakin tidak ada kesan pada parti itu. Kesan buruk hanya pada Bersatu. Walhal PAS kalah teruk di Nenggiri," katanya di Facebook hari ini.

Pada Sabtu, calon BN Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK Mahkota dengan 20,648 majoriti undi selepas memperoleh 27,995 undi berbanding calon PN Mohamad Haizan Jaafar, yang hanya mendapat 7,347 undi.

Susulan kekalahan itu, Muhyiddin menggesa ahli partinya menerimanya, sambil menambah semangat PN tidak akan patah dan gabungan itu akan terus berjuang.

Lau pula menggesa PN melakukan analisis menyeluruh terhadap trend peralihan undi Melayu kepada Umno.

“Ini bukan tentang memandang rendah diri kita sendiri, tetapi kita perlu menilai semula strategi kita, memikirkan perkembangan masa depan, dan mengukuhkan kerjasama dan hubungan antara parti gabungan.

"Memandangkan pihak lain boleh mengetepikan dendam lalu dan bekerjasama, PN mesti melakukan lebih baik lagi," kata Lau.

Lau menambah, model kerjasama yang melibatkan BN dan Pakatan Harapan membuktikan keberkesanannya di Mahkota, dan jika kedua-dua gabungan itu meneruskan pakatan mereka sehingga pilihan raya umum akan datang, ia boleh membawa kepada peralihan landskap politik.

Pemimpin tertinggi PAS masih belum mengulas mengenai kekalahan di PRK Mahkota.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Selayang Taufiq Dahlan memberitahu Harakah Daily semalam berkata kekalahan itu tidak menggambarkan kekuatan sebenar PN.

Mengulas kenyataan Lau mengenai kerjasama BN dan PH, Puad berkata jika Umno dapat membuktikan kepada orang ramai bahawa hubungannya dengan DAP tidak akan menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam – dengan PH mengambil pendekatan seimbang – kerajaan perpaduan boleh menjadi lebih kukuh.

“Kerajaan perpaduan yang kuat akan mengurangkan suhu 3R (isu kaum, agama, raja). Apakah itu isyarat pengundi Nenggiri dan juga Mahkota? Apakah dua PRK tersebut isyarat untuk PRU16?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS