Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno tak layak dapat permohonan maaf, patut syukur dapat talian hayat'

Selepas disingkirkan daripada tampuk kuasa pada pilihan raya umum (PRU) 2018, Umno mengalami prestasi terburuk dalam pilihan raya negara empat tahun kemudian tetapi masih berjaya kembali ke dalam pentadbiran selepas menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Susulan kemenangan berturut-turut dalam pilihan raya kecil (PRK), Ahli Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini meminta PH memohon maaf kerana memberi gambaran buruk kepada partinya selama beberapa dekad.

Ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi bersetuju dengan Nur Jazlan bahawa tiada satu parti pun boleh mengaku sebagai tulang belakang kerajaan perpaduan ketika ini.

Bagaimanapun Tajuddin berkata senarai panjang kesalahan Umno menyebabkan ia tidak layak menerima permohonan maaf.

“Siapa yang hampir bankrapkan negara kalau bukan Umno? Siapa yang menyemai benih permusuhan kaum kalau bukan Umno?

“Siapa yang ajar (Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad) Akmal (Saleh) menggunakan kata-kata penghinaan untuk memenangi pengundi sesuatu kaum dengan mengorbankan maruah orang lain, siapa lagi kalau bukan veteran Umno, khususnya bekas presidennya yang paling lama berkhidmat Dr Mahathir Mohamad?” katanya kepada Malaysiakini.

Tajuddin Mohd Rasdi

Bertentangan dengan dakwaan Nur Jazlan bahawa PH "sangat memerlukan" Umno untuk terus berkuasa, dia menegaskan bahawa gabungan pimpinan Anwar Ibrahim yang menawarkan talian hayat buat Umno yang "terdesak" selepas PRU lalu.

Profesor seni bina, yang mendiagnosis Nur Jazlan menghidap "penyakit Akmal dalam menuntut mohon maaf", menegurnya kerana tidak menggunakan talian hayat kedua ini untuk membetulkan kesalahan Umno yang lalu.

“Daripada menggunakan kemenangan PRK untuk merapatkan hubungan antara bekas lawan bagi membuka lembaran baru ke arah Malaysia yang lebih baik, Nur Jazlan memilih untuk membuka luka lama,” katanya.

Tajuddin menarik perhatian bahawa jika Umno memilih untuk kekal bersama Perikatan Nasional (PN), perananya sebagai parti mewakili orang Melayu akan berkurang memandangkan PAS dan Bersatu juga membawa imej itu.

“Dalam kerajaan sekarang, saya ingin berfikir bahawa walaupun PH mempunyai bahagian terbesar ahli parlimen, Umno berdiri sama tinggi dengan yang lain sebagai rakan kongsi yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, Tajuddin berkata kenyataan Nur Jazlan membuktikan bahawa tabiat lama sukar dihentikan dan Umno masih bekerja di bawah khayalan bahawa ia "abang besar" yang mesti dihormati.

Nur Jazlan Mohamed

“Ini mungkin kedengaran agak klise, tetapi memandangkan pemimpin Umno seperti masih tak tahu, terpaksa diulang - penghormatan diraih oleh yang berhak, bukan dituntut.

"Nur Jazlan bersifat kebudak-budakan apabila menuntut permohonan maaf," katanya, sambil menyifatkan ia sebagai "kacang lupakan kulit" atau "tidak bersyukur".

Semasa perhimpunan agung Umno pada Ogos, pemimpin seperti Akmal menjelaskan bahawa parti itu tidak akan berpuas hati dengan menjadi rakan kongsi dalam gabungan pemerintah.

Dalam ucapannya, ahli politik yang terkenal dengan kenyataan kontroversinya itu menegaskan Umno mesti menjadi kuasa dominan semula.

Nur Jazlan, sebaliknya, mengingatkan bahawa "keangkuhan" boleh merungkai kerjasama antara parti-parti yang penting bagi kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRU akan datang.

Dia berkata PH tidak boleh lagi berpegang kepada "sentimen lama" bahawa Umno korup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS