Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kumpulan bantah insinerator: Polis beri ‘persetujuan lisan’ untuk protes esok

Kumpulan pendesak Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) mendakwa pihaknya telah mendapat kebenaran secara lisan polis untuk mengadakan himpunan esok bagi membantah rancangan kerajaan Selangor untuk membina loji insinerator sampah kepada tenaga (waste-to-energy, WTE) di Rawang.

Menurut RTI, kebenaran itu diberi ketika pertemuan mereka dengan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak.

RTI merancang untuk mengadakan himpunan pada jam 10 pagi esok di depan pejabat Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Kawasan itu terletak di bawah tanggungjawab IPD Gombak.

“Kami hargai respons pantas IPD Gombak dan pertimbangan mereka terhadap kebimbangan kami, dan berterima kasih atas kerjasama mereka dalam memastikan himpunan boleh diteruskan mengikut perancangan.

“RTI dan polis setuju himpunan diadakan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan, bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan awam.

“Polis juga akan menguaskan seorang pegawai bagi memudahkan komunikasi dan memastikan himpunan berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, RTI berkata pihaknya menerima surat daripada IPD Gombak yang melarang himpunan diadakan atas faktor keselamatan, kesesuaian lokasi, kesesakan jalan raya dan ketenteraman awam.

Ketua Polis Gombak Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan penganjur telah menyerahkan notis untuk himpunan itu, mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Polis maklum dengan permohonan (notis) dan penganjur tertakluk kepada terma dan arahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, jurucakap RTI Abdul Hanan Abd Mokti berkata himpunan itu bertujuan menghantar mesej kepada MPS yang penduduk Rawang kecewa dengan keputusannya meluluskan permohonan penukaran zon tanah kediaman di Batu Arang, Rawang kepada kategori industri, bagi membolehkan insinerator mega dibina di tanah tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS