Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BNM, bekas gabenor benteng terakhir integriti kewangan: Peguam Najib

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Bank Negara di bawah pimpinan bekas gabenornya Zeti Akhtar Aziz gagal memberi amaran awal berhubung pemindahan mencurigakan dana 1MDB sebanyak AS$700 juta.

Peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, petang ini berhujah bahawa bekas perdana menteri itu mempunyai sebab untuk mengharapkan bank pusat dan Zeti, yang dianggap sebagai 'benteng terakhir integriti kewangan'.

Peguam bekas perdana menteri memberitahu mahkamah bahawa seorang pegawai Bank Negara pada tahun 2009 didakwa telah memberi kebenaran untuk wang itu dipindahkan keluar negara,

Wang itu sepatutnya digunakan untuk usaha sama antara 1MDB dan Petrosaudi International Limited (PSI), tetapi AS$700 juta itu akhirnya dialihkan ke entiti luar pesisir Good Star Limited, yang dikawal oleh ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low).

Pasukan peguam Najib sebelum ini berhujah bahawa bekas presiden Umno itu tidak tahu mengenai sebarang salah laku dalam 1MDB, dan penyelewengan dana hanya didalangi oleh Low dan anggota pengurusannya.

"Anak guam saya mempunyai setiap sebab untuk berharap kepada Bank Negara dan bekas gabenornya kerana kami menganggap mereka sebagai benteng terakhir integriti kewangan.

"Ini menjadi isu utama dalam soal balas kami terhadap Zeti.

"Anak guam saya mempunyai hak untuk mengharapkan sebarang amaran awal jika transaksi kewangan disyaki terlibat dalam aktiviti haram," hujah Shafee dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB melibatkan RM2.27 bilion terhadap Najib hari ini.

Peguam pembela utama itu menegaskan bahawa Bank Negara sepatutnya menimbang perkara tersebut selama seminggu sebelum membuat sebarang keputusan, namun sebaliknya memberi kebenaran dalam beberapa minit selepas mendapat panggilan telefon daripada CEO 1MDB ketika itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Saksi utama pendakwaan tidak boleh dipercayai

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah bahawa hampir separuh daripada 50 saksi dalam perbicaraan ini tidak boleh dipercayai, pentingkan diri, dan kurang kredibiliti.

Peguam itu menyebut beberapa saksi, terutamanya Shahrol, bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman, bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir, dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo.

Azwan berhujah bahawa keterangan Shahrol yang secara keseluruhannya tidak munasabah dan bercanggah menunjukkan dia adalah boneka kepada ahli perniagaan dan dalang utama 1MDB, Jho Low.

Peguam itu juga berhujah bahawa dakwaan Hazem yang menyatakan dia terpaksa menyertai 1MDB tidak boleh dipercayai kerana terdapat kenaikan gaji bulanan daripada RM38,000 (semasa saksi itu bersama Sime Darby) kepada RM65,000 (semasa menjadi CEO 1MDB).

Azwan menegaskan bahawa semasa soal balas, Hazem mendedahkan bahawa dia mahu kekal memegang jawatan CEO sehingga pelantikan Arul Kanda Kandasamy sebagai presiden 1MDB telah menurunkan pangkatnya (Hazem).

"Hazem juga adalah pengikut kepada Jho Low. Seperti Shahrol, jika Jho Low menyuruh Hazem melompat, dia akan bertanya berapa tinggi," kata peguam itu kepada hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah.

Azwan membuat hujahan lisan serupa mengenai dakwaan Azmi dan Loo tidak boleh dipercayai, dengan menegaskan bahawa bekas peguam 1MDB itu 'lebih suka' menerima arahan daripada Low, yang sehingga kini masih dalam buruan.

Perbicaraan di hadapan Sequerah akan disambung esok dan dijadualkan berlangsung sehingga Jumaat minggu ini.

25 pertuduhan terhadap Najib

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan, termasuk penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.27 bilion.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, bekas perdana menteri berusia 71 tahun itu didakwa melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac dan 30 Ogos 2013.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 September 2018, dan perbicaraan terhadapnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei tahun ini, enam tahun selepas bekas perdana menteri itu didakwa buat kali pertama.

Prosiding kini berada di peringkat hujahan lisan, yang hanya melibatkan pasukan undang-undang membuat kesimpulan berdasarkan bukti lisan dan berdokumen untuk sama ada mengaitkan atau melepaskan Najib.

Sebanyak 50 saksi telah memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, antaranya ialah Loo, Shahrol, Hazem, bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh dan Zeti.

Pendakwa mendakwa bahawa Najib menerima RM2.27 bilion yang diselewengkan daripada dana kekayaan negara yang bermasalah itu antara 2011 dan 2014.

Namun, pasukan peguam Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak tahu mengenai sebarang salah laku dalam 1MDB, dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low dan anggota pengurusan dana itu.

Bekas menteri kewangan itu sebelum ini turut berhujah bahawa Almarhum Raja Abdullah dari Arab Saudi menjanjikan sumbangan kewangan kepada tertuduh untuk tujuan politik.

Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar dan Ahmad Akram Gharib bertindak sebagai pendakwa raya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS