Jabatan Audit Negara (JAN) akan melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai tahun depan dalam usaha mewujudkan era baru tadbir urus di Malaysia.
Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata tindakan itu susulan daripada kelulusan Pindaan Akta Audit 1957 pada Julai 2024 yang memperluas kuasa Ketua Audit Negara dengan ketara, sekali gus membolehkan pengawasan perbelanjaan awam di Malaysia secara lebih menyeluruh.
“Pada tahun depan, kami akan memperkenalkan satu pendekatan baru bagi memastikan kesemua 2,000 GLC itu diaudit. Tiada satu pun entiti akan tertinggal dan semua akan diaudit dalam pusingan pertama,” katanya pada sesi bual santai Persidangan Kebangsaan Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM) 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.
Wan Suraya berkata ini akan disusuli dengan beberapa saringan untuk mengenal pasti entiti berisiko rendah dan diikuti dengan analisis lebih terperinci untuk memastikan tadbir urus serta akauntabiliti ini terus dipertingkat.
Dia turut menegaskan bahawa JAN menerimaguna era baru akauntabiliti dan tadbir urus melalui pendekatan inovatif, terutama dalam aspek penyepaduan teknologi.
“Hasil dapatan audit kami adalah digital sepenuhnya pada tahun depan dari segi kaedah pengauditan yang dijalankan serta aspek analisis data.
“Pada masa ini kami sedang berusaha dengan beberapa pihak berkepentingan dalam memahami teknologi baru dan bagaimana ini dilaksanakan di peringkat sektor swasta,” katanya.
Wan Suraya berkata kalangan juruaudit akan memastikan pengumpulan data dilakukan secara teratur dalam ruang lingkup teknologi baru selain memastikan aspek kerahsiaan terus terjamin.
Jabatan itu juga, katanya lagi, akan bekerjasama erat dengan IIAM dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta entiti lain yang terbabit dalam sektor pengauditan bagi mencapai matlamatnya.
Bersandarkan usaha-usaha sedemikian, Wan Suraya berkata JAN berharap dapat meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap institusi-institusi negara ini dengan memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan.
Pada masa sama, dia berkata JAN sedang mengorak lembaran baru tadbir urus dengan anjakan ke arah pengauditan tematik.
Selepas menjalankan audit tematik pertama ke atas segmen perhutanan pada tahun lepas, jabatan itu kini menumpukan bidang kritikal seperti keterjaminan makanan dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Bagi saya, laporan tematik SDG adalah amat penting dan unik kerana kami turut bekerjasama dengan semua pihak berkaitan.
“Semua mendakwa telah patuh SDG, tetapi sekarang dapat dipastikan sama ada kenyataan mereka benar atau sebaliknya,” katanya.
-Bernama