Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: KPT sahkan tiada pelajar, kakitangan IPT dikesan terlibat
Diterbitkan:  Sep 30, 2024 3:19 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar serta petugas institusi pengajian tinggi (IPT) dikesan terlibat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) setakat ini.

Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud bagaimanapun berkata kerajaan sedang memantau perkembangan tersebut di semua IPT dan akan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat sebarang kegiatan GISBH yang melibatkan penuntut atau warga kerja di mana-mana institusi.

“Berdasarkan maklumat diterima belum ada kes tetapi kita sedang pantau. Selalunya setiap minggu ketika mesyuarat Kabinet, perkara ini akan dibentangkan namun setakat minggu lepas (penglibatan pelajar dan petugas IPT dalam aktiviti GISBH) belum ada.

“Bagi peringkat KPT kita akan tengok Rabu ini. Jika ada maklumat kita akan ambil tindakan secara bersama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Elsevier-MTUN Ketiga Sempena Hari Akademia 2024 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Kuantan hari ini.

Mustapha berkata pihak kementerian turut menunggu keputusan Majlis Raja-Raja berkaitan isu GISBH sebelum mengambil langkah seterusnya dalam usaha mengelakkan pembabitan penuntut atau warga kerja dengan GISBH.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar sebelum ini dipetik berkata keputusan berkaitan doktrin fahaman GISBH bakal diketahui selepas mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja yang dijadual bersidang bulan depan.

Polis Diraja Malaysia melancarkan Op Global pada 11 Sept lepas dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH susulan dakwaan penglibatan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan agama.

Sejak Op Global bermula lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa berjaya diselamatkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS