Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guru wanita didakwa ceroboh pejabat bekas teman lelaki

Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Slim River hari ini terhadap pertuduhan menceroboh pejabat bekas teman lelakinya pada Mac lepas.

N Retha, 41, didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan bilik pejabat milik P Navaneeth, 35, pada kira-kira 3 petang di sebuah klinik dalam daerah Muallim pada 3 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, melarang tertuduh mendekati mangsa hingga kes selesai.

Peguam N Villasini memohon agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya merupakan ibu tunggal kepada anak berusia 14 dan 16 tahun, mempunyai bapa yang menghidap penyakit jantung selain telah berkhidmat sebagai guru selama 21 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa hingga kes selesai dan menetapkan 18 Okt ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS