Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: Polis buka 80 kertas siasatan, ambil masa untuk disiapkan

Polis telah membuka 80 kertas siasatan berkaitan isu membabitkan Global Ikhwan Sdn Bhd Holding (GISBH), kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya siasatan dibuat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Kanun Keseksaan.

Tambah Saifuddin, kertas siasatan itu akan mengambil masa untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Sama ada pendakwaan atau tidak itu bidang kuasa AGC," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan bahawa pihak polis tidak masuk campur dalam isu dakwaan penyelewengan akidah membabitkan GISBH kerana ia terletak bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan majlis agama negeri.

Terdahulu pihak polis menerusi Op Global melakukan serbuan terhadap rumah-rumah amal di seluruh negara yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak yang membawa kepada penahanan puluhan individu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata dia berkata Rang Undang-Undang (RUU) pindaan perlembagaan kewarganegaraan akan dibahas pada sesi parlimen yang akan bermula pada Oktober depan.

"Kita harap minggu pertama dapat tempat dalam agenda urusan mesyuarat sidang parlimen supaya keutamaan kepada pindaan kewarganegaraan perlembagaan," katanya.

Katanya, pindaan itu kini berada di penghujungnya dan menunggu sokongan ahli-ahli parlimen sebelum diluluskan.

RUU berkenaan sepatutnya dibahaskan dan diundi pada Mac lalu, namun kerajaan bertindak untuk menamatkan sidang Dewan Rakyat sejurus sebelum perbahasan.

RUU itu antara lain akan memberikan wanita hak untuk menurunkan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Bagaimanapun, aktivis mengkritik RUU itu kerana tidak menjadikan hak itu retroaktif, bermakna ibu-ibu yang mahu mendapatkan kewarganegaraan anak-anak mereka tidak akan mendapat manfaat daripada undang-undang berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS