Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akmal lebih sudu dari kuah - AMK
Diterbitkan:  Sep 30, 2024 12:56 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Kenyataan Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh bahawa dia sedia ke mahkamah dalam isu pensijilan halal disifatkan lebih sudu dari kuah, kata Pengarah Komunikasi Pemuda PKR (AMK), Haziq Azfar.

"Kenyataan Akmal terkait kesediaan beliau ke mahkamah demi mempertahankan Islam dan Melayu dalam isu pensijilan halal hakikatnya lebih sudu dari kuah.

"Kenyataan ini berlebih-lebih (exaggeration) berbanding soal isu pensijilan halal yang merupakan isu konsumerisme atau kepenggunaan," kata Haziq dalam kenyataan.

Akmal sebelum ini memberi amaran kepada Kok supaya tidak campur tangan dalam urusan masyarakat Islam berkaitan isu pensijilan halal.

Ini selepas Kok mengkritik cadangan mewajibkan pensijilan halal kepada premis dan syarikat makanan yang tidak menjual daging babi dan arak.

Kok berkata cadangan itu jika dilaksanakan bukan sahaja berpotensi membebankan peniaga, termasuk peniaga Melayu, malah mungkin boleh memalukan negara di peringkat antarabangsa.

Ini menyebabkan Akmal menggelarkan Kok sebagai "nyonya tua" dan meminta kerajaan menyediakan logo non-halal untuk ditampal di dahi ahli parlimen DAP itu.

Perang mulut antara kedua-dua ahli politik juga bagaikan tidak berkesudahan meskipun Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada 18 Sept lalu memaklumkan mesyuarat jemaah menteri bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada berkaitan permohonan sijil halal.

Semalam Akmal ketika memberi keterangan kepada pihak polis mempertahankan kenyataannya dengan mengatakan ia adalah reaksi balas terhadap kenyataan yang dibuat oleh Kok.

Ahli Parlimen Merlimau itu juga menegaskan dia bersedia untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

Mengulas lanjut, Haziq berkata perbezaan pandangan oleh Teresa Kok boleh sahaja dikritik balas oleh sesiapa namun wajar difokuskan kepada perkara pokok dalam pensijilan halal, bukan dilebih-lebihkan menjadi isu bangsa dan agama.

"Tidak wajar buat ahli politik untuk mencucuh api mencetuskan bahang kemarahan dengan isu kaum dan agama dalam pemikiran masyarakat tatkala bahan bakarnya tidak pun wujud.

"Setiap ahli politik bertanggungjawab mencelikkan masyarakat dengan bertindak balas dengan isu melalui penilaian yang lebih objektif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS