Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 tidak lama lagi, Anwar Ibrahim menghantar 'isyarat' yang menunjukkan kerajaan sedang meneliti pengagihan subsidi pendidikan kepada rakyat negara ini.

Berucap di Putrajaya hari ini, perdana menteri berkata, kerajaan mahu memastikan subsidi sebegitu disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak saja.

Dia yang juga menteri kewangan menjelaskan pada masa ini peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan turut banyak dinikmati golongan elit dan maha kaya.

"Sekadar yang saya faham, terdapat anak-anak golongan kaya yang menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan, berbanding golongan miskin.

"Bagaimana harus kita lakukan? Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan harus dihentikan.

“Cuma masalah yang harus kita fikir sekarang ialah bagaimana buat penilaian, peratusan anak miskin yang ke Sekolah Menengah Sains, Maktab Renda Sains, kolej Melayu Ketimbang golongan yang mewakili golongan yang elit.

"Ini saya hanya berikan hebahan awal sebelum umum belanjawan (2025) bulan depan," katanya ketika melancarkan Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan hari ini.

Turut hadir Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, dan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan pengagihan dana negara perlu dilaksanakan secara adil terutama di kawasan-kawasan yang terpencil dan lokasi yang memiliki kadar kemiskinan tertinggi.

Katanya ada anak-anak kakitangan kerajaan yang mempunyai jawatan tinggi, pemimpin politik dan tokoh berada mendapatkan pendidikan dengan tanggungan penuh kerajaan.

Pada masa sama jelasnya ada sekolah di pedalaman atau kawasan didiami penduduk miskin tidak mendapat sokongan yang sepatutnya daripada kerajaan.

Keadaan itu, tambah Anwar, meletakkan keadaan tidak adil kepada semua.

Justeru, katanya, sekurang-kurangnya perlu ada usaha berterusan di pihak kerajaan untuk meningkatkan kemudahan, keupayaan dan mutu pendidikan semua rakyat.

Sepatutnya, tambah Anwar lagi, jika seseorang itu kaya atau benar-benar berkemampuan, mereka wajar menghantar anak masing-masing belajar dengan perbelanjaan sendiri.

"Dengan cara itu, kita boleh menampung kekurangan.

“Kalau tidak, subsidi (untuk golongan kaya) ini berterusan (dinikmati) (manakala) hasil (daripada penjimatan subsidi) akan digunakan untuk bantuan tambahan kepada rakyat yang miskin,” katanya.

Anwar dijadual membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS