Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syiah lebih banyak berkorban untuk Palestin - Sheikh Raisuni
Diterbitkan:  Sep 30, 2024 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Bekas pemimpin Kesatuan Ulama Muslim Sedunia dilaporkan berkata kumpulan Syiah terbukti lebih banyak membantu perjuangan Palestin berbanding aliran Sunni.

Menurut kenyataan yang dipaparkan Harakahdaily, Sheikh Ahmad Abdul Salam Mohamed al-Raisuni berkata seseorang Muslim wajib memberikan kesaksian yang benar.

Memetik beberapa ayat al-Quran, Ahmad berkata seseorang Muslim yang menyembunyikan kebenaran dianggap melakukan dosa malah berlaku zalim.

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Ahmad Al-Raisuni menambah seseorang saksi wajib memberikan kenyataan dengan benar walaupun kata-kata itu bertentangan dengan pendirian peribadi atau kumpulan sendiri - malah secara tidak langsung menguntungkan pihak lawan.

Justeru kata ulama berusia 71 tahun itu, dia ingin memberikan pandangan yang mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak.

"Kesaksian (yang ingin saya nyatakan) itu ialah, umat Islam Syiah telah mendukung dan membantu saudara-saudara mujahidin mereka di bumi Palestin.

"Mereka (penganut Syiah) telah berjuang dengan gigih serta menghantar bantuan terbaik kepada Palestin, dan mereka mengorbankan nyawa, wang, senjata, dan membuat pengorbanan yang besar, sdangkan umat Islam Sunni tidak memberikan sumbangan sedemikian," katanya dalam kenyataan berbahasa Arab itu.

Ia disiarkan portal Harakahdaily beberapa hari selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang kembali dari lawatan ke Iran bagi menghadiri muktamar mengenai perpaduan Islam.

Muktamar itu berlangsung dari 19 hingga 21 Sept lalu di Teheran.

Ketika konflik di Gaza belum menampakkan sebarang tanda untuk kendur, rejim Israel melebarkan krisis itu dengan menyerang Lubnan yang menjadi pangkalan kepada kumpulan beraliran Syiah, Hizbullah.

Serangan udara tentera Zionis pada 27 Sept itu mengorbankan pemimpin tertinggi kumpulan tersebut, Hassan Nasrallah, serta anak perempuannya, Zainab.

Di Gaza, sekurang-kurangnya 41,500 orang sudah terbunuh akibat serangan Israel.

Kata Ahmad, dia bertanggungjawab menyatakan kebenaran berkenaan bagi menafikan "pembohongan", "fitnah" dan khabar "palsu" yang dikaitkan dengan Syiah dalam usaha kumpulan terbabit menyokong rakyat Palestin.

"Aku tahu dengan pasti bahawa kesaksian ini akan menimbulkan kemarahan bagi mereka yang meragui dan menafikan (kebenaran), dan mereka akan mengulangi dongeng mereka yang diketahui kepada kita.

"Tetapi aku berkata kepada mereka: Aku berpegang teguh kepada fakta-fakta yang diyakini dan maklumat yang dipercayai, dan aku tidak peduli dengan kata-kata dan sangkaan jahat yang tidak berasas.

"Aku berkata sepertimana Rasulullah SAW bersabda: Ya Allah, jika Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak peduli,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS